Soal & Jawab COVID-19

 

Memandangkan COVID-19 yang semakin merebak di seluruh Malaysia dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan sejak 18/3/2020, harap beberapa soalan dan jawapan di bawah dapat menggambarkan apa yang boleh kita lakukan atau renungkan sebagai orang Kristian.

 

  1. Tutup Gereja Dek Korona-19 Tanda Tidak Beriman?

    Bangunan gereja atau ruang ibadat adalah untuk memudahkan acara ibadat/kebaktian/misi orang percaya. Dalam keadaan yang biasa tempat-tempat inilah kita pergi untuk berkumpul sesama orang percaya untuk beribadat bersama iaitu untuk memuji menyembah, mendengar firman Tuhan bersama untuk saling dikuatkan dan saling memberi dorongan dalam iman dan harapan. Firman Tuhan jelas memberi nasihat kepada kita agar jangan menjauhi pertemuan-pertemuan ibadah kita ini (Ibrani 10:24-25). Perintah Kawalan Pergerakan bukan melarang orang Kristian beribadat. Kita hanya digalakkan tinggal di rumah untuk mengelak risiko jangkitan. Ibadah yang sejati masih dapat diteruskan berpandukan fakta-fakta seperti berikut:

    Ibadat yang sejati:

    – Orang Kristian mempersembahkan tubuh kita sebagai persembahan yang hidup kepada Tuhan (Roma 12:1-2).
    – Apabila dua atau tiga orang atau lebih berkumpul dalam nama Tuhan Yesus Kristus (Matius 18:20).
    – Apabila kita menyembah Tuhan dengan berhiaskan kekudusan (Mazmur 96:9, AVB).
    – boleh diadakan di mana-mana sahaja pada hari bila-bila saja, tidak dibatasi oleh tempat dan waktu, kerana tirai pemisah di Rumah Tuhan telah dibelah kerana karya pengampunan dan penebusan sudah diselesaikan oleh Kristus di kayu salib (Matius 27:51).

  2. Covid-19 berasal daripada Iblis untuk menghancurkan gereja-gereja Tuhan

    Semua yang berlaku harus dilihat sebagai kedaulatan Tuhan, kerana tidak satu pun perkara terjadi di luar perhitungan Tuhan. Hentikan berkata bahawa Covid 19 ini adalah daripada Iblis. (Lukas 21:11), atau mengatakan penyakit sampar yang akan terjadi sebagai tanda-tanda pengakhiran zaman. Tumpukan iman kita pada kedaulatan Tuhan bukan pada anggapan-anggapan yang keliru.

  3. Covid-19 tidak akan menjangkiti orang-orang Kristian

    Covid-19 tidak boleh dipandang dengan sikap remeh, virus ini sudah membunuh ribuan orang dalam waktu yang singkat. Pengakuan bahawa orang Kristian tidak akan dijangkiti adalah sesat, justeru ada juga orang Kristian yang mati kerana virus ini. Perlu disedari bahawa tidak seorang pun manusia kebal dengan penyakit, apalagi dengan penyakit yang sudah dikenal pasti berjangkit dengan mudah. Dalam hal inilah kita perlu bertindak sesuai dengan kebijaksanaan yang Tuhan berikan.

  4. Tidak usahlah mengikut langkah-langkah pencegahan virus, sebab Tuhan ialah pelindung kita

    – Memang benar Tuhan menjanjikan pemeliharaan yang sempurna tetapi ini tidak mengurangi sedikit pun tanggungjawab kita terhadap diri sendiri dan keluarga kita. Menggunakan ayat-ayat firman Tuhan secara tidak bertanggungjawab tidak akan melindungi kita.
    – Covid -19 bukanlah sesuatu yang biasa tetapi sudah membunuh ribuan orang termasuk ratusan orang Kristian. Apakah orang-orang Kristian ini tidak tahu tentang janji pemeliharaan Tuhan?
    – Walaupun serangan virus ini bukanlah alasan utama kita untuk panik, tetapi sekurang-kurangnya kita sudah cukup menyedari bahawa kita masih ada keluarga dan orang terdekat yang perlu meneruskan kehidupan dengan sihat tanpa mengambil hak-hak mereka untuk terus menikmati nafas hidup yang hanya sementara ini. Jangan ambil kebahagiaan dan kehidupan mereka dengan sikap kita yang tidak bertanggungjawab.

  5. Apa yang boleh kita lakukan sepanjang masa PKP?

    – “Hampirilah Allah, dan Allah pun akan menghampiri kamu” (Yakobus 4:8).
    – Mentaati perintah kerajaan (Roma 13:1-5), tingkatkan kebersihan diri dan elakkan aktiviti sosial di tempat ramai orang.
    – Perhatikan dan menghulurkan bantuan jika ada orang tua yang tinggal bersendirian, atau yang tidak mampu keluar untuk membeli barangan keperluan (Filipi 2:4).

Terima kasih kepada penulis asal: Pastor Jubilie Apin (Pena Rajawali), Pastor Fazli Samil dan Pastor Ladius Maturut

Teks asal:

  1. Pastor Jubilie Apin: https://rb.gy/ul3pkt(Perhatian: Artikel ini ditulis sebelum Perintah Kawalan Pergerakan diumumkan, jadi para pembaca, sila duduk diam-diam di rumah seperti rayuan kerajaan.) 
  2. Pastor Fazli Samil: https://rb.gy/fkswdr
  3. Pastor Ladius Maturut: https://go.aws/2ycbqLW

 

read_more