Tokoh Bapa

 

Pengalaman peribadi dengan Bapa Syurgawi amat penting bagi setiap ibu bapa. Bagaimanakah ibu bapa dapat mendidik anak-anak mereka berdasarkan kebapaan Tuhan?

 

Dalam satu sesi kaunseling, seorang lelaki memberitahu saya bahawa dia sukar untuk menganggap Tuhan sebagai Bapa setelah menjadi orang Kristian kerana hubungannya yang tidak baik dengan bapa kandungnya.Dia tiada masalah untuk menerima Kristus sebagai Tuhan dan Penyelamat. Dia juga dapat menerima kehadiran dan pelayanan Roh Kudus. Namun pengalamannya yang buruk sejak kecil sehingga masa remaja menyebabkan dia sangat marah setiap kali teringat akan bapanya yang suka menindas.

 

Saya mengajak dia merenungkan cerita tentang anak yang hilang dan bapanya. Dia mengambil masa yang lama untuk benar-benar memahami cerita tersebut. Ketika sampai pada babak bapa itu berlari menyambut dan memeluk anaknya, dia terdiam sebentar, kemudian suasana berubah seperti sebuah empangan pecah. Dia jatuh ke tanah dengan tangan terbentang sambil menangis teresak-esak, dia berkata kepada Tuhan, “Abba, Bapa!” Itulah saat yang sangat menyembuhkan bagi dia. Akhirnya, dia dibebaskan daripada kesakitan yang disebabkan bapa duniawinya dan dapat menerima cahaya kemuliaan daripada Bapa Syurgawinya.

 

Tuhan adalah Bapa kita yang sempurna. Dia mendidik kita dengan pengetahuan, hikmat, kasih dan kekuatan yang sempurna. Tidak seperti Tuhan, bapa duniawi kita mempunyai kekurangan. Ada segelintir bapa yang baik, memenuhi semua keperluan anak-anaknya dan mengambil berat serta sayang kepada anak-anaknya. Namun, ada juga bapa yang bersifat buruk dan menyakiti anak-anaknya.

Tuhan adalah Bapa kita yang sempurna.

Didikan bapa (dan ibu) sangat mempengaruhi cara kita memandang Tuhan. Apabila bapa kita seorang yang baik, dengan senang hati kita akan mempunyai gambaran yang baik tentang Tuhan sebagai Bapa Syurgawi. Namun apabila kita mempunyai pengalaman buruk dengan bapa duniawi kita, kita akan sukar untuk percaya, mengasihi, dan melayani Tuhan (namun, ada juga kekecualian). Didikan yang kita terima semasa kecil juga mempengaruhi kita mendidik anak-anak kita. Kekerasan anak boleh berlaku dari generasi ke generasi. Secara umumnya, bapa yang kasar akan menghasilkan anak-anak yang juga bersifat kasar terhadap anak-anak mereka. Begitu juga dengan bapa yang tidak suka berkomunikasi, bersikap dingin dan selalu tidak hadir untuk anak-anaknya. Situasi ini juga akan berlaku ke atas ibu bapa yang tidak dapat diharapkan dan tidak bermoral.

Didikan bapa (dan ibu) sangat mempengaruhi cara kita memandang Tuhan.

Adakah kebiasaan buruk ini dapat dihentikan? Sudah tentu boleh! Kadang-kadang, ibu bapa yang bersifat buruk dan kasar akan menimbulkan “pembentukan tindak balas” pada anaknya (istilah dalam psikologi). Pengalaman masa kecil yang sangat menyedihkan dan sukar diterima menyebabkan mereka bertekad agar tidak menjadi seperti ibu bapa mereka. Mereka ingin membesar menjadi seorang yang bersifat berlawanan dengan ibu bapa mereka. Apabila ibu bapa mereka bersikap diktator (bersikap zalim dan tidak memberi kebebasan) dan suka mendesak, mereka akan menjadi ibu bapa yang permisif (terbuka). Apabila sikap tersebut lebih banyak terjadi dalam bentuk tindakan daripada tindak balas, maka pola kelakuan ibu bapa seperti ini cenderung neurotik (mekanisme pertahanan dalam psikologi) yang mungkin tidak sihat. Tindak balas yang tepat dan sihat timbul daripada kesedaran seseorang mengenai kesakitan masa lalu. Orang tersebut membuat pilihan dengan penuh pertimbangan dan berusaha untuk menjadi ibu bapa yang berbeza. Seluruh fikiran, hati dan keinginan turut mengalami perubahan.

Kekerasan anak boleh berlaku dari generasi ke generasi.

Ada orang yang membesar sebagai anak yatim piatu atau dibesarkan oleh ibu atau bapa tunggal. Pengalaman tersebut mungkin akan membantu mereka memahami Tuhan sebagai Bapa. Menemukan kebapaan Tuhan juga dapat mengisi kekosongan hidup mereka.

 

Apa pun pengalaman kita semasa kecil, kita akan mendapat pertolongan jika kita membina hubungan yang penuh kasih dengan Tuhan sebagai Bapa kita. Ketika kita dididik oleh Bapa dan mengalami kasih-Nya yang kuat dan tidak terbatas, kesetiaan-Nya yang tidak berubah, pemeliharaan, kehadiran serta pembelaan dan perlindungan-Nya, kita akan diubah menjadi seperti Dia. Tuhan Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya “Aku mengasihi kamu seperti Bapa mengasihi Aku. Hendaklah kamu tetap hidup sebagai orang yang Aku kasihi…Inilah perintah-Ku: Hendaklah kamu saling mengasihi, seperti Aku mengasihi kamu” (Yohanes 15:9-12). Pengalaman kita akan kasih Tuhan akan mempengaruhi cara kita mengasihi sesama.

Pengalaman kita akan kasih Tuhan akan mempengaruhi cara kita mengasihi sesama.

Kembali kepada cerita lelaki tersebut, selepas mengalami pembebasan dalam hidupnya, dia sedar bahawa Tuhan adalah satu-satunya teladan utama dalam kebapaan. Kita tidak dapat menilai kebapaan Tuhan berdasarkan kegagalan bapa duniawi kita. Sebaliknya, walaupun bapa duniawi kita tidak sempurna, kita dapat melihat bahawa Bapa Syurgawi adalah sempurna dan semua tindakan-Nya yang penuh kasih dapat menjadi teladan yang terbaik bagi ibu bapa kita dalam mendidik anak-anak.

Kita tidak dapat menilai kebapaan Tuhan berdasarkan kegagalan bapa duniawi kita.

Firman Tuhan berkata bahawa anak-anak adalah anugerah Tuhan yang diberikan kepada ibu bapa (Mazmur 127:3), ayat ini sangat benar. Ibu bapa juga adalah anugerah Tuhan untuk anak-anak mereka. Seperti Tuhan menjadi Bapa bagi semua ibu bapa, Dia juga memberi anak-anak-Nya seorang bapa (atau ibu) yang dibentuk oleh-Nya.

 


Renungkan

 

Renungkan masa kecil dan hubungan anda dengan bapa anda? Bagaimanakah pengalaman tersebut mempengaruhi hubungan anda dengan Tuhan dan anak-anak anda?

Bagaimanakah Tuhan menjadi Bapa anda yang terutama, bukan sahaja sebagai teladan secara teori tetapi juga sebagai Bapa anda yang nyata dan hidup?

Bagaimanakah fakta ini dapat membantu orang yang mempunyai pengalaman buruk dengan ibu bapa mereka?

 

Artikel ini adalah terbitan asal Santapan Rohani https://hikmat-keluarga.org/articles/figur-bapa/ iaitu pelayanan Our Daily Bread dalam bahasa Indonesia. Diterjemah dan diterbitkan dengan kebenaran.

 

read_more