Bersatu dalam Doa

Kempen Berdoa 30 Hari bagi Jangkitan COVID-19


Kita sudah mendengar banyak berita mengenai Coronavirus atau Covid-19. Semakin hari, kes jangkitan dan kematian semakin meningkat. Penularan virus yang semakin meluas bukan sahaja mempengaruhi kesihatan manusia, bahkan turut mempengaruhi aspek ekonomi, sosial, dan politik secara global. Kita mungkin terbatas untuk memberikan bantuan dalam bentuk fizikal, namun bantuan doa tidak pernah terbatas kerana Tuhan kita yang hebat tidak pernah dan tidak akan terbatas. Mari sertai kami dalam kempen berdoa 30 hari bagi jangkitan Covid-19. Mari kita terus yakin, percaya, dan berharap kepada Tuhan semasa menghadapi situasi ini.


"Kita berani menghadap Allah, kerana kita yakin bahawa Dia mengabulkan doa kita, jika kita memohon apa sahaja yang sesuai dengan kehendak-Nya" (1 Yohanes 5:14).




1 / 30

Berdoa bagi pertaubatan peribadi dan bangsa-bangsa daripada dosa-dosa yang kelihatan dan tersembunyi.
Berdoa bagi Wuhan, tempat bermulanya penularan virus ini.
Berdoa bagi kecukupan bekalan keperluan seperti makanan seharian. Berdoa agar penyaluran bantuan keperluan berjalan dengan lancar.
Berdoa bagi tempat-tempat lain di China yang turut terjejas oleh virus ini.
Berdoa bagi Perlindungan Tuhan ke atas negara lain khususnya negara-negara yang sudah mencatatkan kes Covid-19 ini.
Berdoa bagi perlindungan, kekuatan dari segi fizikal, mental dan hikmat bagi pasukan perubatan yang terlibat.
Berdoa bagi kedamaian dan kesejahteraan Tuhan memenuhi setiap hati dan fikiran kita dalam menghadapi krisis virus ini.
Berdoa agar melalui perkara ini, orang percaya semakin giat memberitakan Injil Yesus Kristus dan lebih ramai orang dapat mengenal Tuhan.
Berdoa bagi semua orang agar tidak hilang harapan. Sebaliknya, terus bergantung kepada Yesus semasa menghadapi krisis ini.
Berdoa bagi kesatuan gereja-gereja Yesus di seluruh dunia dalam menangani krisis ini.
Berdoa agar isu perkauman tidak berterusan dan ada kasih dalam hati kerana Covid-19 telah menyebarkan ketakutan dan sikap perkauman di seluruh dunia.
Berdoa bagi para penyelidik dan saintis yang sedang berusaha mencipta vaksin untuk melawan jangkitan virus ini. Tuhan yang memberikan mereka hikmat.
Berdoa agar masalah bekalan perubatan dan peralatan perlindungan dapat diatasi. Mari kita terus bergantung kepada kuasa Tuhan.
Berdoa bagi pesakit dan keluarga mereka agar ada kesembuhan, terus diberi kekuatan dan penghiburan sepanjang tempoh kuarantin.
Berdoa bagi kesembuhan, perlindungan, kekuatan dan ketenangan bagi rakyat Malaysia yang terjejas dari segi kesihatan fizikal dan mental serta ekonomi.
Berdoa agar punca sebenar virus ini dapat diketahui dan lebih banyak maklumat mengenai virus ini dapat diketahui agar penularan ini diatasi.
Berdoa bagi kerajaan China agar mereka diberikan hikmat dalam menangani dan mengawal penularan virus ini.
Berdoa bagi ekonomi dunia kerana Covid-19 memberi impak yang sangat besar kepada kemerosotan ekonomi dunia.
Berdoa secara khusus bagi ekonomi Malaysia yang terjejas oleh Covid-19 ini sehingga menjejaskan pendapatan penduduk Malaysia.
Berdoa agar melalui kerjasama dan pertukaran pandangan antara pakar dalam dunia perubatan, penularan Covid-19 dapat dibendung secepat mungkin.
Berdoa agar setiap orang lebih bertanggungjawab dalam mengawal penularan Covid-19 dan tidak mementingkan diri sendiri.
Berdoa untuk mengatasi rasa ketakutan dalam diri setiap kita agar kita tidak diselubungi dengan perasaan takut yang melampau terhadap virus Covid-19.
Berdoa bagi penularan Covid-19 yang masih berterusan di seluruh dunia supaya ia terkawal.
Berdoa bagi usaha negara-negara dalam membuat strategi baru dan yang lebih berkesan untuk membendung penularan Covid-19. Berdoa bagi barisan hadapan seperti polis dan tentera yang juga termasuk dalam strategi ini.
Berdoa untuk pertumbuhan iman kita secara peribadi. Terdapat banyak ketidakpastian sehingga mengganggu emosi dan pertumbuhan iman kita.
Berdoa bagi kakitangan hospital Malaysia terutamanya yang mengendalikan kes Covid-19. Berdoa bagi perlindungan Tuhan terhadap mereka daripada jangkitan Covid-19.
Berdoa bagi keselamatan jiwa khususnya bagi orang yang dijangkiti Covid-19. Masih ramai yang belum mengenal Tuhan secara peribadi dan percaya akan Yesus.
Berdoa bagi kekuatan dan penghiburan ahli keluarga yang ditinggalkan. Ramai yang telah meninggal dunia disebabkan virus ini, tambahan pula ahli keluarga tidak dapat bersama sehingga nafas yang terakhir.
Berdoa bagi orang Kristian di seluruh dunia agar dapat memberikan kesaksian yang baik: memiliki sikap yang betul, memberi bantuan dan melayani orang yang memerlukan bantuan.
Berdoa bagi ketidakpastian penghujung Covid-19. Ketidakpastian ini menimbulkan kebimbangan di seluruh dunia dan kemungkinan yang bakal dihadapi oleh negara-negara dan rakyatnya.


Banyak lagi sumber yang membantu sewaktu pandemik COVID-19 tersedia bagi anda!


read_more