Warisan yang Harus Diteruskan
Kita bersyukur kepada Tuhan kerana masih lagi berkesempatan untuk merayakan Hari Malaysia 2021 walaupun dalam keadaan yang sederhana. Tahun lalu, saya menulis tentang keprihatinan kita sebagai rakyat Malaysia terhadap sesama ketika berhadapan dengan pandemik ini. Pada waktu sukar seperti ini, tidak dinafikan ada orang yang cenderung berfikir tentang diri mereka sahaja namun puji Tuhan, ada juga orang yang masih prihatin terhadap orang lain yang sedang dalam kekurangan – KASIH telah merentasi ‘sempadan,’ saling membantu dan melayani semua orang tanpa mengira latar belakang mereka!
Pandemik ini juga telah memberi kesan mendalam kepada banyak rumah ibadat dan penganut-penganut agama sehingga mempengaruhi kerohanian dan semangat sesetengah orang termasuk umat Kristian. Ada yang mulai “sejuk” lalu menjauhi pelayanan atau ibadah (walaupun melalui kaedah atas talian). Oleh itu, saya terpanggil untuk menulis tentang Warisan yang harus diteruskan. Walau apa pun keadaan yang melanda kita sebagai umat Kristian, inilah warisan yang harus kita teruskan. Warisan menurut pemahaman saya ialah sesuatu yang harus dilanjutkan, disertai dengan kepercayaan dan harapan si pemberi kepada si penerima yang akan melanjutkannya. Inilah antara dua warisan yang harus diteruskan oleh orang Kristian di Malaysia.
1. Warisan Iman dan Amanat Agung
Yesus sendiri telah datang ke dunia ini dan melayani orang-orang yang percaya kepada-Nya. Kemudian, murid-murid-Nya meneruskan pelayanan dan melaksanakan Amanat Agung (Matius 28:19-20) walaupun harus mempertaruhkan nyawa mereka. Inilah warisan yang harus kita teruskan dengan hikmat daripada Tuhan. Renungkan kembali kedatangan mubaligh-mubaligh Kristian suatu masa dahulu. Mereka harus menyesuaikan diri dengan ‘persekitaran atau suasana baru’ supaya Amanat Agung itu dapat diteruskan.
Hari ini, kita semua berada dalam ‘persekitaran dan suasana baru’ seperti para mubaligh kerana Covid-19. Namun, kita harus belajar untuk menyesuaikan diri dan meneruskan warisan yang telah dimulakan oleh orang-orang terdahulu supaya Amanat Agung ini terus diberitakan sehingga lebih ramai orang akan mengenal Yesus. Selain memberi makanan untuk keperluan jasmani seseorang, Amanat Agung perlu diteruskan untuk menyelamatkan jiwa mereka serta pelayanan dalam dan luar gereja juga harus diteruskan dengan kreatif.
Pandemik ini sepatutnya mendekatkan kita kepada Tuhan kerana kita semua adalah waris kerajaan syurga. Iman adalah anugerah yang diberikan Tuhan, satu warisan syurgawi yang harus kita pelihara sampai ke garis akhir. Kebangunan rohani tidak akan terjadi jika sebuah gereja atau seseorang itu hilang kerinduan, kebergantungan dan keintiman dengan Tuhan serta hilang semangat melayani Tuhan!
2. Warisan Keharmonian, Perpaduan dan Keamanan
Tidak dinafikan bahawa pandemik dan pelbagai isu lain mendatangkan kesan negatif kepada emosi dan mentaliti ramai pihak sehingga keharmonian, perpaduan dan keamanan negara kita tergugat seketika. Saya menyeru kepada umat Kristian untuk tidak melayan provokasi dalam apa jua bentuk dan ingatlah perintah serta ajaran Yesus dalam Injil Matius 5:9, “berbahagialah mereka yang membawa damai.” Kita seharusnya memberikan respons yang berbeza dengan dunia apabila kekacauan berlaku di negara kita dengan tidak mengeluarkan kata-kata yang menjatuhkan seseorang atau mencetuskan perbalahan.
Kita kekalkan warisan keamanan, perpaduan, keharmonian dan kesatuan yang telah dicapai oleh pemimpin-pemimpin terdahulu sehingga kita masih boleh hidup bersama dalam komuniti majmuk yang berbilang bangsa dan agama. Mari kita tetap bersyukur, bersemangat dan tetap percaya bahawa Tuhan menyertai kita dalam apa keadaan sekalipun – Immanuel!
Mari kita teruskan warisan yang telah dipercayakan Tuhan kepada kita sehingga suatu hari nanti kita melihat hasil daripada ketekunan kita dan nama Tuhan dimuliakan. Mari juga kekalkan keharmonian dan perpaduan yang sejak dahulu dibina oleh pemimpin-pemimpin terdahulu. Selamat menyambut Hari Malaysia!
Renungkan:
Apakah warisan yang saya tinggalkan pada waktu pandemik ini?
Adakah saya pasif atau aktif selama pandemik ini?
Tentang penulis
Pastor Billy Quick adalah berbangsa Iban + Kelabit yang berasal dari Miri, Sarawak dan sedang melayani di SIB Nilai, Negeri Sembilan. Pr. Billy merupakan graduan dari Seminari Theoloji Malaysia (Bachelor of Theology) dan Malaysia Baptist Theological Seminary (Master of Divinity). Beliau telah membuat Kaji Selidik Tentang Pelayanan & Penginjilan Online – Adaptasi Kepada Norma Baharu.