Yesus—Pemberian Terhebat

 

Lagu-lagu seperti itu lebih menekankan kehadiran individu tertentu berbanding kehadiran Yesus Kristus di dalam hati atau kehidupan peribadi seseorang.

Menjelang bulan Disember, Hari Natal sangat dinantikan oleh orang Kristian. Ia bertujuan untuk memperingati kelahiran Sang Penebus dan Juruselamat kita, Yesus Kristus yang telah lahir ke dunia untuk menjadi jalan selamat bagi mereka yang percaya kepada-Nya. Namun tidak dinafikan pada zaman moden ini, maksud sebenar hari Natal semakin samar dan digantikan dengan aktiviti, tujuan atau keinginan lain. Hari Natal dilihat semata-mata sebagai kesempatan untuk bercuti, bertukar hadiah, kunjung-mengunjung dan berpesta pora. Malah, ada gereja yang menganjurkan pertandingan tertentu atau sesi pertukaran hadiah sebagai acara kemuncak pada hari Natal. Jika bertandang ke pusat membeli belah pula, lagu seperti “All I Want For Christmas Is You” atau “Santa Claus Is Coming To Town” seringkali berkumandang. Lagu-lagu seperti itu lebih menekankan kehadiran individu tertentu berbanding kehadiran Yesus Kristus di dalam hati atau kehidupan peribadi seseorang.

 

Selain itu, promosi-promosi hebat sempena hari Natal dilakukan bagi mendorong orang ramai berbelanja atau menghadiahkan sesuatu kepada orang lain. Pasti ada pokok Krismas yang besar, hadiah yang berwarna-warni dan Santa Klaus berkeliaran mengucapkan “Ho, Ho, Ho…Merry Christmas to you and your love ones” bertujuan untuk membangkitkan dan menyemarakkan semangat Natal. Sebelum saya menjadi seorang hamba Tuhan, saya pernah menjadi pengurus beberapa kelab malam di Sabah dan Sarawak. Pada malam 24 Disember, kami akan menganjurkan “Christmas Eve Party” dan menghias kelab dengan perhiasan Natal sambil mempromosikan aktiviti-aktiviti yang menarik, disertai tawaran istimewa atas minuman-minuman tertentu dan menyediakan hadiah-hadiah mahal untuk dimenangi. Slogan-slogan seperti, “Win the best Christmas gift for your love ones” tertera di poster yang akan diedarkan melalui Media Sosial.

 

Namun bagi orang Kristian yang matang, hari Natal disambut dengan sukacita besar dan kesyukuran yang tidak terhingga kerana Raja Damai yang dijanjikan Tuhan

Sudah pasti kelab malam akan dipenuhi oleh orang bukan Kristian yang mengambil kesempatan untuk berpesta pora sempena cuti hari Natal, namun yang lebih mengecewakan dan menyedihkan adalah apabila ada orang Kristian yang baru pulang dari ibadah pra-Natal di gereja turut menyertai parti-parti ini. Mereka merayakan hari Natal seperti orang yang tidak mengenal Kristus atau maksud sebenar di sebalik perayaan Natal itu. Selain di kelab malam, ada juga yang sudah mula minum dan mabuk di kediaman atau kampung halaman masing-masing. Bagi mereka, hari Natal adalah sebuah perayaan semata-mata. Namun bagi orang Kristian yang matang, hari Natal disambut dengan sukacita besar dan kesyukuran yang tidak terhingga kerana Raja Damai yang dijanjikan Tuhan (Yesaya 9:6) telah dilahirkan ke dunia. Selain itu, Hari Natal juga menceritakan kebesaran kasih Tuhan (Yohanes 3:16). Hari Natal harus diraikan dengan tertumpu kepada Yesus Kristus sahaja, Dialah sebabnya kita merayakan hari Natal. Yesus ialah pemberian terhebat bagi kita!

 

Contoh terbaik bagaimana hari Natal yang pertama dirayakan dapat kita lihat dalam Injil Lukas 2:8-19 (TB), “Di daerah itu ada gembala-gembala yang tinggal di padang menjaga kawanan ternak mereka pada waktu malam. Tiba-tiba berdirilah seorang malaikat Tuhan di dekat mereka dan kemuliaan Tuhan bersinar meliputi mereka dan mereka sangat ketakutan. Lalu kata malaikat itu kepada mereka: “Jangan takut, sebab sesungguhnya aku memberitakan kepadamu kesukaan besar untuk seluruh bangsa: Hari ini telah lahir bagimu Juruselamat, yaitu Kristus, Tuhan, di kota Daud. Dan inilah tandanya bagimu: Kamu akan menjumpai seorang bayi dibungkus dengan lampin dan terbaring di dalam palungan.” Dan tiba-tiba tampaklah bersama-sama dengan malaikat itu sejumlah besar bala tentara sorga yang memuji Allah, katanya: “Kemuliaan bagi Allah di tempat yang mahatinggi dan damai sejahtera di bumi di antara manusia yang berkenan kepada-Nya.

 

Setelah malaikat-malaikat itu meninggalkan mereka dan kembali ke sorga, gembala-gembala itu berkata seorang kepada yang lain: “Marilah kita pergi ke Betlehem untuk melihat apa yang terjadi di sana, seperti yang diberitahukan Tuhan kepada kita.” Lalu mereka cepat-cepat berangkat dan menjumpai Maria dan Yusuf dan bayi itu, yang sedang berbaring di dalam palungan. Dan ketika mereka melihat-Nya, mereka memberitahukan apa yang telah dikatakan kepada mereka tentang Anak itu.”Apabila Berita Baik itu disampaikan kepada para gembala, sejumlah besar malaikat syurga turut merayakan hal itu dengan memuji Tuhan. Sudah pasti para malaikat itu membentuk satu paduan suara yang merdu dan indah, mereka memuliakan, meninggikan dan mengagungkan perbuatan Tuhan yang telah berinisiatif untuk mendatangkan kebaikan serta damai sejahtera kepada umat yang dikasihi-Nya.

 

Sekalipun mereka berkunjung dengan pemberian-pemberian itu, tujuan utama adalah untuk melihat dan mempercayai kelahiran serta kewujudan Yesus Kristus.

Setelah itu, para gembala menjumpai Yesus Kristus di palungan. Apabila mereka mendapati bahawa Sang Mesias telah dilahirkan seperti yang telah diberitakan, mereka percaya kepada-Nya. Kemudian mereka bersaksi tentang apa yang telah dilihat. Selain kisah para gembala itu, kita juga sedia maklum bahawa orang-orang majus datang untuk menyembah Yesus lalu mempersembahkan emas, kemenyan dan mur (Matius 2:1-11). Sekalipun mereka berkunjung dengan pemberian-pemberian itu, tujuan utama adalah untuk melihat dan mempercayai kelahiran serta kewujudan Yesus Kristus. Dia lahir untuk menjadi korban terbaik di atas kayu salib demi menebus kita dari semua dosa dan pelanggaran kita. Yesus lahir untuk membawa kita kembali kepada Tuhan setelah kita menjadi seteru-Nya akibat kejatuhan umat manusia ke dalam dosa pada awal penciptaan. Kita juga merayakan hari Natal kerana memperingati kedatangan Penebus dan Juruselamat kita, yang telah membebaskan kita daripada ikatan-ikatan dan tabiat lama lalu menjadikan kita manusia baru. Maka, hari Natal harus diraikan dengan penuh kesyukuran, penghormatan, kekaguman dan sukacita penuh.

 

Yesus adalah pemberian terhebat dan itulah sebab utama dan sebenar kita merayakan hari Natal.

Ini bukan bermaksud salah jika kita ingin bercuti, memberi hadiah, kunjung-mengunjung atau berpesta, namun jangan jadikan hari Natal tentang hal-hal itu saja. Malah, jangan jadikan hal-hal itu sebagai keutamaan pada hari Natal. Hari Natal tidak akan bermakna dan menjadi sia-sia jika tiada Yesus. Hari Natal menjadi satu perayaan biasa-biasa sahaja jika Yesus diketepikan. Sebaliknya perayaan Natal adalah istimewa kerana hero kita, Penyelamat kita, kekasih hati kita dan Tuhan kita, iaitu Yesus Kristus yang telah datang ke dunia untuk menunjukkan karya kasih-Nya di atas kayu salib supaya kamu dan saya tidak akan binasa namun beroleh kehidupan yang kekal (Yohanes 3:16). Yesus adalah pemberian terhebat dan itulah sebab utama dan sebenar kita merayakan hari Natal. Walaupun Covid-19 sedikit sebanyak “melumpuhkan” perayaan Natal tahun ini, namun ia tidak dapat merampas sukacita dan damai sejahtera yang ada dalam kita.

 

Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Natal 2020 kepada semua pembaca Pedoman Harian. Tuhan memberkati!

 


Tentang Penulis
Billy Quick berasal dari Miri, Sarawak. Dia berbangsa Iban campur Kelabit, lepasan Master of Divinity (MDiv). Dia bertunang dengan Carol Elizaberth Au, lepasan Diploma Christian Ministry, berbangsa Rungus dari Kudat, Sabah. Mereka akan masuk pelayanan sepenuh masa bersama pada tahun, 2021, di mana sahaja panggilan Tuhan.

 

 

read_more