Kerana kedudukannya yang terletak di antara gunung-gunung yang curam dan kawasan utara, Rjukan di Norway tidak melihat cahaya matahari dari bulan Oktober sehingga Mac. Untuk menerangi bandar tersebut, penduduknya telah memasang cermin yang sangat besar di tepi pergunungan untuk memantulkan cahaya matahari ke pusat bandar. Penduduk tempatan boleh terus menerima cahaya matahari kerana cermin-cermin gergasi yang berputar mengikut waktu matahari terbit dan terbenam.

Saya suka memikirkan kehidupan Kristian dalam senario yang serupa. Yesus berkata bahawa pengikut-pengikut-Nya adalah “cahaya bagi dunia” (Matius 5:14). Rasul Yohanes menulis bahawa Kristus adalah cahaya yang benar, “bersinar dalam kegelapan” (Yohanes 1:5). Demikian juga Yesus menjemput kita memantulkan cahaya kita kepada kegelapan yang ada di sekeliling kita. “Hendaklah cahaya kamu juga bersinar di hadapan orang, supaya mereka melihat perbuatan kamu yang baik, lalu memuji Bapa kamu yang di syurga” (Matius 5:16). Itu merupakan satu panggilan bagi kita untuk menunjukkan kasih kita di hadapan kebencian, sabar dalam menghadapi kesusahan dan mengalami kedamaian pada masa konflik. Seperti rasul Paulus mengingatkan kita, “Dahulu kamu hidup dalam kegelapan, tetapi sekarang kamu telah menjadi umat Tuhan, maka kamu hidup dalam cahaya” (Efesus 5:8).

Yesus juga berkata, “Akulah cahaya bagi dunia. Orang yang mengikut Aku tidak akan berjalan dalam kegelapan, tetapi beroleh cahaya yang memberikan hidup” (Yohanes 8:12). Cahaya kita merupakan pantulan Yesus, Anak Tuhan. Begitu juga tanpa matahari, cermin-cermin gergasi di Rjukan tidak akan mempunyai cahaya untuk dipantulkan, ini sama halnya kita tidak dapat berbuat apa-apa tanpa Yesus.