Lebih daripada 10,000 orang penginjil dan pemimpin Kristian duduk di auditorium gergasi di Amsterdam pada tahun 1986 untuk mendengar khutbah daripada penginjil yang terkenal, Billy Graham. Saya turut salah seorang hadirin, ketika dia meriwayatkan beberapa pengalamannya. Kemudian, saya terkejut kerana dia berkata, “Biar saya beritahu anda: setiap kali saya berdiri di hadapan umat Tuhan untuk berkhutbah, saya geletar dan lutut saya terhuyung-hayang.”

Apa! Saya tertanya-tanya. Bagaimana mungkin seorang pengkhutbah yang terkenal, malah telah berkongsi berita baik kepada berjuta-juta orang dengan khutbah yang berkuasa kelihatan geletar dan lututnya terhuyung-hayang? Kemudian dia menjelaskan bahawa dia tidak takut dan bimbang di atas pentas, tetapi dengan rendah diri dan lemah lembut, dia berasa tidak layak untuk menjawab tugas besar yang dipercayakan oleh Tuhan. Dia pun bergantung sepenuhnya kepada kekuatan Tuhan, bukan pada kefasihan sendiri ketika berkhutbah.

Musa berasa tidak layak apabila Tuhan menghantar dia menyampaikan berita kepada orang Israel yang telah diperhambakan selama 400 tahun ketika mereka ditawan di Mesir. Musa memohon Tuhan menghantar orang lain, dengan alasan bahawa dia bukannya orang yang fasih bercakap (Lihat Keluaran 4:10,13).

Kita mungkin mempunyai kebimbangan yang sama apabila Tuhan memanggil kita melakukan sesuatu untuk-Nya. Tetapi dorongan-Nya kepada Musa juga boleh menggerakkan kita: “Sekarang, pergilah. Aku akan menolong engkau bercakap” (Ayat 12).

Seperti Billy Graham berkata pada hari itu, “Apabila Tuhan memanggil anda, jangan takut sampai geletar dan lutut anda bergerak-gerak, kerana Dia akan menyertai anda!”