Kita adalah antara tujuh bilion orang yang sama-sama wujud di atas planet kecil yang terletak dalam sebahagian kecil daripada sistem solar yang agak kecil. Bumi kita, secara nyatanya, hanyalah sebuah titik biru yang amat kecil antara berjuta-juta cakerawala yang diciptakan oleh Tuhan. Di atas kanvas gergasi itu ialah dunia kita, bumi kita yang cantik, hebat dan agung kelihatan sebagai sebutir debu yang kecil.

Kenyataan ini boleh membuatkan kita berasa teramat tidak penting. Bagaimanapun, firman Tuhan menunjukkan kebenaran yang amat berbeza. Tuhan kita yang maha agung, yang “menyukat air laut dengan lekuk tangan-Nya” (Yesaya 40:12), telah menganggap bahawa setiap orang di planet ini amat penting, kerana kita diciptakan menurut rupa-Nya.

Misalnya, Dia telah menciptakan segala sesuatu untuk kita nikmati (1 Timotius 6:17). Juga, bagi semua orang yang telah percaya kepada Yesus sebagai Penyelamat, Tuhan telah memberikan tujuan dalam hidup mereka (Efesus 2:10). Dan seterusnya: Meskipun dunia ini luas, Tuhan mengambil berat terhadap setiap kita. Mazmur 139 menuliskan bahawa Dia mengetahui apa yang akan kita katakan dan apa yang sedang kita fikirkan. Kita tidak boleh terlepas daripada hadirat-Nya, dan Dia merancangkan kewujudan kita bahkan sebelum kita dilahirkan.

Usahlah kita berasa diri kita tidak penting apabila Tuhan di alam semesta ini begitu tertarik akan kita!