Dalam bukunya The Hidden Brain, penulis sains Shankar Vedantam menerangkan masa dia pergi berenang. Air di tempat itu tenang dan jernih, dan dia berasa bertenaga dan bangga kerana dia dapat berenang sampai jarak yang jauh dengan mudahnya. Kemudian dia memutuskan untuk berenang ke luar teluk dan pergi ke laut terbuka. Tetapi apabila dia cuba kembali, dia tidak dapat berenang maju. Dia telah ditipu oleh arus laut. Sepanjang masa ini dia dapat berenang dengan mudah bukan kerana tenaganya, tetapi kerana aliran air.
Dalam hubungan kita dengan Tuhan, sesuatu yang sama boleh berlaku. “Berjalan dengan aliran” boleh membimbing kita percaya bahawa kita lebih kuat. Ketika hidup senang, fikiran kita memberitahu bahawa ini kerana kekuatan kita. Kita menjadi sombong dan yakin pada diri sendiri. Tetapi apabila masalah melanda, kita sedar bahawa betapa sedikitnya kekuatan kita dan kita amat tidak berdaya.
Inilah yang berlaku kepada umat Israel. Tuhan memberkati mereka dengan kejayaan tentera, damai dan kemakmuran. Mereka berfikir mereka sendiri yang mencapai segala kejayaan, maka mereka menjadi sombong dan mampu memenuhi keperluan sendiri (Ulangan 8:11-12). Mereka mula menganggap bahawa Tuhan tidak diperlukan lagi, malah mereka menjalani kehidupan sendiri sehingga musuh menyerang mereka, barulah mereka sedar bahawa mereka sama sekali tidak berdaya tanpa pertolongan Tuhan.
Apabila hidup kelihatan baik sahaja, kita juga mestilah berwaspada supaya tidak menipu diri sendiri. Kesombongan akan membawa kita ke tempat yang kita tidak kehendaki. Hanya kerendahan hati akan membantu kita terus berada di tempat yang sepatutnya—syukurlah kepada Tuhan dan bergantung pada kekuatan-Nya.