Media sosial adalah berguna bagi banyak perkara, tetapi ia tidak membawa kepuasan. Sekurang-kurangnya bukan bagi saya. Walaupun matlamat saya adalah baik, saya boleh berasa kecewa kerana terus diingatkan bahawa orang lain telah mencapai matlamat mereka lebih dahulu atau dengan hasil yang lebih hebat. Saya mudah dipengaruhi oleh kekecewaan seperti ini, jadi saya kerap mengingatkan diri sendiri bahawa Tuhan memang mencukupkan saya dengan apa yang saya harapkan. Dia telah memberikan segala yang saya perlukan untuk melaksanakan kerja yang dikehendaki-Nya.
Ini bermakna saya tidak memerlukan: bajet yang lebih besar atau jaminan kejayaan; suasana kerja yang lebih baik atau kerja yang lain; pengesahan atau kebenaran daripada orang lain; kesihatan yang baik atau masa lebihan. Tuhan akan memberikan perkara-perkara tersebut, tetapi saya sudah memiliki semua yang diperlukan, kerana apabila Dia melakukan kerja, Dia menyediakan segala sumbernya. Satu-satunya tugas saya adalah menggunakan masa dan bakat yang diberikan-Nya, supaya memberkati orang lain dan memuliakan Tuhan.
Yesus dan Petrus berbual-bual tentang topik ini. Selepas menyediakan sarapan di tepi pantai Tasik Tiberias, Yesus memberitahu Petrus apa yang akan berlaku pada akhir hidupnya. Namun Petrus menunjuk pengikut yang lain dan bertanya, “Tuhan, bagaimanakah dengan orang ini?” Yesus menjawab, “Apa kena-mengenanya dengan kamu?”
Itulah soalan yang perlu saya tanya pada diri saya sendiri, apabila saya membandingkan diri dengan orang lain. Jawapannya adalah, “Tidak ada kena-mengena dengan saya.” Tugas saya adalah mengikut Yesus dan setia kepada-Nya.