Sheryl ialah seorang yang tekun membaca. Ketika orang lain sedang menonton televisyen atau bermain permainan video, dia tertarik akan kandungan setiap halaman buku.
Kebanyakan semangat ini boleh dikesan kembali ke zaman kanak-kanaknya. Keluarganya kerap melawat nenek dan datuk saudara yang memiliki sebuah kedai buku. Di sana, Sheryl akan duduk di atas riba datuk saudara-nya, Ed, sementara dia membacakan cerita kepada Sheryl serta memperkenalkan keajaiban dan keseronokan dalam buku-buku itu.
Berabad-abad yang lalu, seorang pemuda bernama Timotius juga dibimbing dalam pembelajaran. Dalam surat terakhir Paulus, dia mengakui bahawa Timotius mula-mula diperkenalkan kepada Alkitab oleh nenek dan ibunya (2 Timotius 1:5). Setelah itu Paulus menggesa agar Timotius melanjutkan cara hidup Kristian kerana “sejak kecil lagi engkau telah mengenal Alkitab” (2 Timotius 3:14-15).
Bagi orang percaya, pembelajaran tentang kehidupan rohani tidak patut berhenti untuk menggembirakan kita dan membantu kita bertumbuh. Pembacaan dan pengajian merupakan sebahagian besar daripadanya, tetapi kita juga memerlukan orang lain untuk menggalakkan dan mengajar kita.
Siapakah yang telah membantu anda bertumbuh dalam iman anda? Seterusnya siapakah yang boleh anda bantu? Cara ini adalah cara yang baik untuk memperkaya penghargaan kita terhadap Tuhan dan meneguhkan hubungan kita dengan-Nya.