Semasa saya belajar belayar, saya terpaksa berjalan di sepanjang platform terapung yang betul-betul bergoyang-goyang untuk sampai ke bot-bot kecil, tempat pembelajaran kami. Saya benar-benar tidak menyukainya. Saya tidak pandai menyeimbangkan badan dan takut kalau-kalau saya jatuh di celah antara platform dan bot itu ketika saya cuba masuk ke dalamnya. Saya hampir putus asa. “Tumpukan mata kamu kepada saya,” kata jurulatih itu. “Saya di sini, saya akan memegang kamu jika kamu terjatuh.” Saya melakukan seperti apa yang dikatakannya. Kini saya berasa bangga sebagai seorang pemilik sijil kecekapan pelayaran tingkat asas!

Adakah anda mengelakkan diri daripada mengambil risiko dengan apa cara sekalipun? Ramai antara kita keberatan untuk melangkah keluar dari zon selesa kerana takut akan gagal, disakiti atau kelihatan bodoh. Tetapi jika kita membiarkan ketakutan itu membelenggu kita, akhirnya kita tidak berani melakukan apa-apa.

Kisah tentang pengalaman Petrus yang berjalan di atas air dan sebab dia gagal adalah satu bahan yang popular untuk para pengkhutbah (Matius 14:22-33). Tetapi saya rasa saya tidak pernah mendengar sesiapa pengkhutbah membincang tentang sikap pengikut-pengikut Yesus yang lain. Pada pendapat saya, Petrus seorang yang berjaya. Dia merasakan ketakutan itu tetapi dia masih menjawab panggilan Yesus. Mungkin orang yang sama sekali tidak pernah mencuba adalah orang yang gagal.

Yesus mempertaruhkan segalanya bagi kita. Apakah yang kita sediakan untuk dipertaruhkan bagi-Nya?