Semasa menyambut hari jadi ibunya yang ke-50 bersama dengan beratus-ratus orang, Kukua, anak perempuannya yang sulung mengingat kembali segala pengorbanan ibunya. Waktu itu amat sukar, Kukua teringat, dan mereka amat kekurangan wang. Namun ibu tunggalnya sendiri melepaskan peluang untuk mempunyai hidup yang senang, malah dia menjual semua barang kemasnya serta barangan lain supaya dia dapat menyokong Kukua menghadiri sekolah sehingga dia tamat sekolah menengah. Dengan linangan air mata, Kukua berkata bahawa betapa susah pun, ibunya tidak pernah meninggalkan dia dan adik-beradiknya.
Tuhan membandingkan kasih-Nya kepada umat-Nya dengan kasih seorang ibu terhadap anaknya. Apabila umat Israel berasa ditinggalkan oleh Tuhan semasa mereka dalam buangan, mereka merungut: “TUHAN telah meninggalkan kita! Dia telah melupakan kita” (Yesaya 49:14). Tetapi Tuhan berkata, “Dapatkah seorang ibu melupakan bayinya, atau tidak mengasihi anak kandungnya? Sekalipun ibu melupakan anak, Aku tidak akan melupakan kamu” (ayat 15).
Apabila kita menderita atau dikecewakan, kita mungkin berasa ditinggalkan oleh masyarakat, keluarga dan kawan-kawan, tetapi Tuhan tidak akan meninggalkan kita. Ayat ini menjadi dorongan yang amat kuat apabila Tuhan berkata, “Aku telah menuliskan nama kamu pada tapak tangan-Ku” (ayat 16) untuk menunjukkan bahawa Dia amat memahami kita dan rela melindungi kita. Walaupun manusia meninggalkan kita, Tuhan tidak akan meninggalkan umat-Nya.