Selama bertahun-tahun saya menganggap Khutbah di atas Bukit (Matius 5, 6, 7) sebagai garis panduan bagi tingkah laku manusia, iaitu standard yang tidak mungkin dicapai oleh sesiapa pun. Bagaimana saya boleh terlepas pandang tentang maksud sebenar dalam khutbah ini? Yesus berkata sedemikian bukan untuk mengelirukan kita, tetapi untuk memberitahu kita tentang siapa itu Tuhan.

Mengapa kita harus mengasihi musuh kita? Ini kerana Bapa kita yang penuh belas kasihan menerbitkan matahari yang dijadikan-Nya untuk orang yang baik dan yang jahat. Mengapa kita mengumpulkan harta di syurga? Ini kerana Bapa berada di syurga dan Dia akan memberkati kita dengan berlimpah-limpah. Mengapa kita dapat hidup tanpa berasa takut dan khuatir? Ini kerana Tuhan yang menghiasi bunga bakung dan rumput di padang turut berjanji untuk menjaga kita. Mengapa kita harus berdoa? Jika bapa yang di bumi dapat memberi anaknya roti atau ikan, apatah lagi Bapa kita yang di syurga? Dia akan memberi pemberian yang baik kepada mereka yang meminta.

Khutbah di atas Bukit (Matius 5, 6, 7) yang disampaikan oleh Yesus bukan sahaja untuk menjelaskan standard Tuhan yang harus kita usahakan, tetapi juga untuk menunjukkan bahawa dalam hidup ini, tiada sesiapa pun dapat mencapai standard tersebut.

Di hadapan Tuhan, semua manusia adalah sama rata: pembunuh dan pemarah, penzina dan yang berhawa nafsu, pencuri dan yang tamak. Hanya apabila kita menyedari bahawa kita ialah orang berdosa dan tidak dapat menyelamatkan diri sendiri, barulah kita ingin mengenal Tuhan. Sejak manusia jatuh dari dunia yang sempurna, kita hanya ada satu tempat untuk mendarat, iaitu ke dalam jala keselamatan Tuhan yang mengandungi kasih kurnia-Nya.