Di rumah kami, kata-kata “pembaikan dan pemasangan” menjadi tekanan besar (bagi saya) dan topik yang lucu (bagi keluarga saya). Apabila isteri saya dan saya baru berkahwin, saya cuba membuat pembaikan yang mudah di rumah kami—dengan hasil yang tidak seberapa baik. Pemegang pancutan air di bilik mandi seharusnya berfungsi dengan baik—tetapi selepas saya membaikinya, air itu terpancur keluar dari retak antara dinding. “Bencana” seperti ini berterusan sehingga kami mempunyai anak. Saya meyakinkan isteri saya, Cheryl, bahawa saya “tidak perlu mengikut buku panduan” dan dapat memperbaiki mainan anak-anak kami dengan “mudah.” Tetapi saya silap!
Akhirnya saya sedar dan mula membaca buku panduan dengan teliti, barulah benda-benda yang dibaiki dapat berfungsi lagi. Namun, apabila keadaan bertambah baik, saya mula berasa yakin pada kemampuan sendiri, lalu mengetepikan buku panduan. Akhirnya hasil pembaikan menjadi teruk seperti dahulu.
Bangsa Israel pada waktu dahulu bergelut dengan kecenderungan yang sama: mereka melupakan Tuhan, tidak mempedulikan perintah-Nya yang melarang mereka menyembah dewa Baal dan dewa-dewa lain di kawasan itu (Hakim-Hakim 2:12). Perbuatan mereka mengakibatkan keadaan yang huru-hara, sehingga Tuhan dengan belas kasihan-Nya, membangkitkan hakim-hakim untuk menyelamatkan mereka dan membawa mereka kembali kepada-Nya (2:18).
Tuhan memberikan segala perintah dan arahan-Nya kepada kita supaya kita terus berpaut kepada-Nya. Jika kita terus menyedari kewujudan kasih-Nya pada setiap hari, kita dapat melawan cubaan untuk “memperbaiki” kehidupan kita dengan cara sendiri. Dia telah memberikan hadiah yang besar ini kepada kita melalui firman dan hadirat-Nya.