Ketika matahari terbit pada hari pertama bulan ketujuh, tahun 444 SM, Ezra mula membacakan kitab Taurat Musa (yang dikenali sebagai 5 buku pertama di dalam Alkitab). Dia berdiri di atas pentas kayu di hadapan rakyat Yerusalem, kemudian dia terus membaca kitab itu selama 6 jam.
Lelaki, perempuan dan kanak-kanak berkumpul di pintu masuk kota yang digelar Gerbang Air untuk menyambut Perayaan Sangkakala—salah satu perayaan yang ditetapkan oleh Tuhan. Ketika mereka mendengar, mereka menunjukkan 4 reaksi.
Mereka berdiri sebagai tanda penghormatan bagi Hukum Taurat (Nehemia 8:5). Mereka memuji Tuhan dengan mengangkat tangan sambil berkata “Amin”. Mereka “bersujud menyembah Allah” (ayat 6). Mereka mendengar dengan penuh perhatian ketika kitab Taurat dibaca dan dijelaskan (ayat 8). Ia merupakan hari yang luar biasa apabila “Taurat yang diberikan TUHAN kepada Israel melalui Musa” (ayat 1) dibaca dengan lantang di tembok Yerusalem yang baru dibina.
Pembacaan maraton yang dilakukan oleh Ezra memperingatkan kita bahawa firman Tuhan ialah sumber pujian, penyembahan dan pelajaran. Apabila kita membuka Alkitab dan belajar tentang Kristus, marilah kita memuji, menyembah dan berusaha untuk mengenal apa yang dikatakan-Nya kepada kita pada saat ini.