Kami berasa sangat kecewa dan sedih apabila mendapati bahawa kawan karib kami, Cindy, telah dikenal pasti menghidap kanser. Cindy adalah seorang yang bersemangat. Hidupnya menjadi berkat kepada semua orang yang mengenalinya. Maka saya dan isteri berasa lega apabila keadaannya bertambah baik, tetapi beberapa bulan kemudian kanser itu menyerang dia dengan lebih dahsyat lagi. Bagi kami, dia masih terlalu muda untuk meninggal dunia. Suaminya menceritakan kepada kami tentang saat-saat terakhir hidupnya. Apabila Cindy menjadi terlalu lemah dan tidak mampu bercakap, dia berbisik kepada suaminya, “Beradalah di sisi aku sahaja.” Apa yang dia inginkan pada saat-saat terakhir itu ialah kehadiran suaminya yang dikasihi.
Penulis surat Ibrani menghibur para pembacanya dengan memetik Ulangan 31:6. Masa itu Tuhan berfirman kepada umat-Nya: “Aku tidak akan membiarkan kamu; Aku tidak akan meninggalkan kamu” (Ibrani 13:5). Pada saat paling gelap dalam hidup kita, kehadiran kasih-Nya memberi kita keyakinan bahawa kita tidak keseorangan. Dia memberi kita kasih kurnia untuk bertahan, hikmat untuk mengetahui bahawa Dia turut bekerja, dan keyakinan bahawa Kristus “dapat bersimpati terhadap segala kelemahan kita” (Ibrani 4:15).
Marilah kita memegang erat berkat Tuhan yang penuh kasih daripada hadirat-Nya, supaya kita boleh berkata dengan yakin, “Tuhan Penolongku, aku tidak akan takut” (Ibrani 13:6).