Pada penghujung semester persekolahan, saya dan isteri saya membawa anak perempuan kami balik dari sekolahnya yang sejauh 100 kilometer. Dalam perjalanan pulang, kami singgah di tepi pantai yang terletak di suatu tempat peranginan untuk menikmati makanan ringan sambil memerhatikan kapal-kapal di perairan. Biasanya kapal-kapal tersebut berlabuh dengan sauh supaya tidak hanyut, tetapi saya memerhatikan sebuah kapal sedang hanyut di tengah laut—secara perlahan dan menuju ke arah air laut yang dalam.
Sewaktu kami meneruskan perjalanan pulang, saya merenungkan peringatan yang diberi kepada orang-orang percaya dalam surat Ibrani: “Karena itu harus lebih teliti kita memperhatikan apa yang telah kita dengar, supaya kita jangan hanyut dibawa arus” (Ibrani 2:1, Alkitab TB). Kita harus bersungguh-sungguh berpegang kepada kebenaran supaya tidak meninggalkan kepercayaan kita. Penulis surat Ibrani berkata bahawa walaupun Taurat boleh diharap dan perlu ditaati, tetapi mesej yang dibawa oleh Anak Tuhan adalah jauh lebih mulia. Penyelamatan yang kita terima sungguh besar di dalam Yesus, jangan sekali-kali kita mengabaikan-Nya (ayat 3).
Apabila hubungan kita dengan Tuhan mulai hanyut, kita tidak akan menyedarinya kerana ia berlaku secara perlahan-lahan. Sebaliknya, jika kita terus bersekutu dengan Dia dalam doa, membaca firman-Nya, mengakui dosa-dosa kita, serta bersekutu dengan pengikut-pengikut Yesus yang lain, ia dapat membantu kita terus teguh di dalam-Nya. Jika kita terus bersama dengan Tuhan, Dia akan memelihara kita dengan setia dan menjaga kita supaya tidak dihanyutkan oleh arus dunia ini.
berpegang teguhlah kepada Dia.