Joop Zoetemelk dikenali sebagai pelumba basikal yang paling berjaya di Belanda kerana sikapnya yang tidak pernah berputus asa. Dia telah memulakan dan menghabiskan kejuaraan basikal, Tour de France sebanyak 16 kali. Dia mendapat tempat kedua sebanyak lima kali sebelum menjadi juara pada tahun 1980. Itulah ketabahan yang mengagumkan!
Ramai pemenang telah mencapai kejayaan dengan menaiki tangga istimewa yang disebut “tidak pernah berputus asa.” Bagaimanapun, terdapat juga ramai yang telah kehilangan peluang untuk mencapai kejayaan kerana mereka berputus asa dengan terlalu awal. Ini boleh berlaku dalam setiap bidang kehidupan: keluarga, pendidikan, rakan-rakan, pekerjaan, pelayanan. Ketabahan adalah kunci ke arah kemenangan.
Rasul Paulus tabah walaupun mengalami penganiayaan dan penderitaan (2 Timotius 3:10-11). Dia memandang kehidupan ini dengan kesedaran ini: sebagai pengikut Kristus, kita akan melalui penganiayaan (ayat 12-13), tetapi dia mengarahkan Timotius meletakkan kepercayaannya pada Tuhan dan galakan daripada Alkitab (ayat 14-15). Dengan berbuat demikian, ini akan membantu dia menghadapi kekecewaan dan bertahan dengan harapan. Pada akhir hidup Paulus, dia berkata, “Aku sudah berusaha dengan sebaik-baiknya dalam perlumbaan dan aku sudah sampai di garis akhir” (4:7).
Kita juga dapat membenarkan Alkitab untuk menguatkan kita agar tetap tabah dalam perlumbaan yang sudah dipersiapkan untuk kita. Ini kerana apabila Tuhan memberikan janji, Dia pasti akan menunaikannya, dan dia akan memberikan hadiah kemenangan kepada orang yang tetap setia sampai ke akhir perlumbaan itu (ayat 8).