Ke mana pun para atlet Sukan Olimpik 2016 bersiar-siar di bandar Rio de Janeiro, mereka akan dapat melihat Yesus. Rupanya Cristo Redentor (Kristus Penebus), sebuah patung arca yang setinggi 30 meter telah didirikan dengan teguh pada puncak gunung Corcovado yang mempunyai ketinggian 710 meter. Dengan tangan terbentang luas, arca besar ini dapat dilihat pada siang dan malam di seluruh bandar yang luas itu.
Sebagaimana arca Yesus yang konkrit dan diperbuat daripada batuan metamorfosis ini mungkin dapat memberi kedamaian kepada orang yang melihatnya, tetapi kita boleh mengalami penghiburan yang lebih besar daripada kenyataan ini: Yesus yang sebenar melihat kita. Dalam Mazmur 34, Daud menjelaskan sebegini: “TUHAN memperhatikan orang salih, dan mendengar tangisan mereka” (ayat 16). Dia mengatakan apabila orang salih berseru untuk meminta pertolongan-Nya, “TUHAN mendengar dan menyelamatkan mereka daripada segala kesusahan. TUHAN dekat kepada orang yang tawar hati; Dia menyelamatkan mereka yang putus asa” (ayat 18-19).
Siapakah orang salih? Orang salih adalah kita yang meletakkan kepercayaan pada Yesus Kristus, yang Dia sendiri membuat kita berbaik semula dengan-Nya (1 Korintus 1:30). Tuhan memerhatikan kehidupan kita, dan Dia mendengar tangisan orang yang percaya kepada-Nya. Dia sentiasa dekat untuk menolong pada saat kita amat memerlukan pertolongan.
Mata Yesus tertuju kepada anda.
Terima kasih kerana Engkau memerhatikan hidupku dan menunjukkan jalan yang benar kepadaku
melalui firman dan Roh-Mu.