Thomas J. DeLong, seorang profesor di Sekolah Perniagaan Harvard telah memperhatikan satu trend yang membimbangkan di kalangan pelajar dan rakan-rakan sekerjanya—“ketagihan dalam membuat perbandingan.” Dia menulis, “Trend ini semakin ketara … eksekutif perniagaan, penganalisis di Wall Street, peguam, doktor dan golongan profesional yang lain semakin suka membandingkan pencapaian mereka dengan pencapaian orang lain … Keadaan seperti ini tidak akan mendatangkan sebarang kebaikan bagi individu mahupun syarikat-syarikat. Apabila anda menentukan kejayaan berdasarkan kriteria luaran dan bukannya kriteria dalaman, anda akan semakin kehilangan kepuasan hati dan komitmen anda.”

Ketagihan dalam membuat perbandingan bukanlah perkara baharu. Alkitab memberi amaran tentang bahaya membandingkan diri kita dengan orang lain. Apabila kita berbuat demikian, kita menjadi bangga dan memandang rendah terhadap mereka (Lukas 18:9-14). Atau kita menjadi iri hati dan mahu menjadi seperti mereka, bahkan menginginkan apa yang dimiliki oleh mereka (Yakobus 4:1). Kita gagal memberi tumpuan kepada apa yang telah diberikan Tuhan untuk perkara yang kita perlu lakukan. Yesus membayangkan bahawa ketagihan dalam membuat perbandingan datang daripada anggapan bahawa Tuhan adalah tidak adil dan Dia tidak berhak untuk bermurah hati terhadap orang lain selain daripada kita (Matius 20:1-16).

Dengan rahmat Tuhan, kita dapat belajar untuk mengatasi kebiasaan yang suka membanding ini dengan memberi tumpuan terhadap segala sesuatu yang diberikan Tuhan kepada kita. Apabila kita mengambil masa untuk bersyukur kepada Tuhan bagi berkat-Nya setiap hari, kita mengubah pemikiran kita dan mulai percaya dengan betul-betul bahawa Tuhan adalah baik.