Baru-baru ini, anak menantu saya telah menjelaskan kepada cucu saya Maggie bahawa kita boleh bercakap dengan Tuhan dan Dia berkomunikasi dengan kita. Apabila Ewing memberitahu Maggie bahawa Tuhan kadang-kadang berkata kepada kita melalui Alkitab, dia menjawab tanpa teragak-agak, “Tapi, Dia tidak pernah berkata apa-apa kepada saya. Saya tidak pernah mendengar Tuhan bercakap dengan saya.”

Kebanyakan kita mungkin bersetuju dengan Maggie, jika mendengar suara yang kedengaran memberitahu kita, “Jual rumah anda, pergilah menjaga anak-anak yatim di negeri yang jauh,” ini barulah yang kita maksudkan Tuhan berkomunikasi dengan kita. Namun, apabila kita bercakap tentang mendengar Tuhan “berkata,” biasanya kita merujuk kepada sesuatu yang agak berbeza.

Kita “mendengar” Tuhan melalui pembacaan firman Tuhan. Alkitab memberitahu kita tentang Yesus dan mengatakan bahawa Tuhan “telah berfirman kepada kita melalui Anak-Nya.” “Dia memancarkan kemuliaan Allah yang gilang-gemilang dan Dia perwujudan Allah sendiri” (Ibrani 1:2-3). Firman Tuhan memberitahu kita cara untuk mendapatkan penyelamatan dalam Yesus dan hidup dengan cara yang menyenangkan hati-Nya (2 Timotius 3:14-17). Selain daripada firman Tuhan, kita mempunyai Roh Kudus. 1 Korintus 2:12 mengatakan bahawa kita diberi Roh “supaya kita mengetahui semua yang telah dikurniakan Allah kepada kita.”

Adakah anda sudah lama tidak mendengar kata-kata Tuhan? Bercakaplah kepada Dia dan dengarlah Roh Kudus, yang menyatakan Yesus kepada kita melalui firman-Nya. Dengarlah perkara yang menakjubkan yang ingin dikatakan Tuhan kepada anda.