Beberapa tahun sebelum Theodore Roosevelt menjadi Presiden Amerika Syarikat yang ke-26 (1901-1909), dia dimaklumkan bahawa anak sulungnya, Theodore Jr. telah jatuh sakit. Walaupun anaknya, Ted akan pulih, tetapi punca penyakit anaknya menjadi tamparan besar bagi Roosevelt. Doktor memberitahu bahawa dialah punca bagi penyakit anaknya. Anaknya mengalami “keletihan saraf” atau tidak berdaya dari segi mental setelah ditekan dengan keras oleh Theodore untuk menjadi “pejuang” yang gagah, iaitu impiannya sendiri yang tidak dapat dicapai kerana dia sering jatuh sakit pada zaman kanak-kanak. Setelah mendengar itu, Roosevelt berjanji untuk berlembut kepada anaknya, “Selepas ini saya tidak akan memberikan tekanan kepada Ted lagi, sama ada dari segi tubuh atau minda.”
Bapa ini memang menepati janjinya. Sejak itu dia telah memberi perhatian serius tentang layanannya terhadap anak lelakinya—anak inilah yang kemudiannya menjadi seorang pemimpin tentera yang berani bagi Kuasa Bersekutu di Pantai Utah pada Perang Dunia ke-II.
Tuhan telah mengamanahkan setiap kita untuk mempengaruhi kehidupan orang lain. Kita mempunyai tanggungjawab yang besar dalam hubungan tersebut, bukan sahaja dengan pasangan dan anak-anak, tetapi juga dengan rakan-rakan, para pekerja dan para pelanggan. Kecenderungan untuk memberi tekanan keras, tuntutan yang melampau, paksaan untuk maju atau pengejaran akan kejayaan boleh mengakibatkan kita menyakiti orang lain tanpa sedari. Demi mengelakkan perkara sebegini berlaku, pengikut-pengikut Kristus digesa supaya bersabar dan berlemah lembut terhadap satu sama lain (Kolose 3:12). Sepertimana Yesus, Anak Tuhan datang dengan penuh kerendahan hati, bagaimana mungkin kita tidak menunjukkan kemurahan yang sama terhadap sesama kita?