Saya memerlukan tangki air di bawah tanah dan tahu secara terperinci bagaimana saya mahu tangki itu dibina, justeru saya memberikan arahan yang jelas kepada pembina. Pada keesokan hari apabila saya memeriksa projek, saya marah kerana saya menyedari bahawa dia tidak menurut arahan saya. Dia telah mengubah pelan asal saya dan kesannya. Alasan yang diberikan juga menjengkelkan seperti mana kegagalannya untuk mengikut arahan saya.
Apabila saya memerhatikan dia membuat semula kerja pembinaan, sambil kegeraman saya berkurang, saya pula mula berasa serba salah: Berapa kali saya perlu membaiki semula masalah-masalah dalam kehidupan saya dari segi ketaatan kepada Tuhan?
Seperti orang Israel sering gagal melakukan apa yang diperintahkan Tuhan, kita juga sering mengikut jalan sendiri. Namun ketaatan ialah hasil daripada hubungan yang semakin dalam dengan Tuhan. Musa memberitahu rakyat Israel, “Hai umat Israel, pastikanlah bahawa kamu melakukan segala yang diperintahkan TUHAN, Allah kamu … Patuhilah semua yang diperintahkan oleh TUHAN, Allah kamu” (Ulangan 5:32-33). Lama selepas Musa meninggal, Yesus juga menggesa para pengikut-Nya untuk mempercayai Dia dan mengasihi sesama.
Inilah jenis penyerahan hati yang membawa kesejahteraan kepada hidup kita. Roh Kudus membantu kita untuk mentaati, tetapi pada waktu yang sama kita perlu ingat bahawa Dia “sentiasa bekerja di kalangan kamu untuk membuat kamu mahu dan sanggup melakukan apa yang dikehendaki-Nya” (Filipi 2:13).