Apabila anda masuk sesetengah kota yang besar di dunia ini, kamu mungkin masuk melalui pintu gerbang yang terkenal seperti Pintu Gerbang Brandenburg (Berlin), Pintu Gerbang Jaffa (Yerusalem), dan pintu gerbang di Downing Street (London). Baik gerbang itu dibina untuk pertahanan atau tujuan upacara, semua gerbang itu melambangkan perbezaan berada di luar atau di dalam kawasan tertentu di kota itu. Ada pintu gerbang yang terbuka; ada yang tertutup kecuali boleh dimasuk oleh segelintir orang.
Pintu gerbang ke dalam hadirat Tuhan adalah selalu terbuka. Lagu yang terkenal dalam Mazmur 100 merupakan jemputan kepada orang Israel untuk masuk ke hadirat Tuhan melalui pintu gerbang Rumah Tuhan. Mereka disuruh “sembahlah Tuhan dengan sukacita” dan “datanglah ke hadirat-Nya dengan lagu-lagu gembira” (ayat 1-2).
Penyembahan yang bersukacita merupakan ekspresi yang betul apabila orang menyambut raja pada zaman kuno. Seluruh bumi harus menyanyi dengan sukacita kepada Tuhan! Sebabnya pujian yang bersukacita diberikan kerana Tuhan telah memberikan identiti kepada mereka (ayat 3). Mereka masuk melalui pintu gerbang itu dengan pujian dan syukur kerana kebaikan, kesetiaan dan kasih Tuhan yang kekal, yang berterusan sampai selama-lamanya (ayat 4-5). Walaupun mereka melupakan identiti mereka dan menyimpang daripada-Nya, Tuhan tetap setia dan masih menjemput mereka menghadap Dia.
Pintu gerbang ke hadirat Tuhan masih terbuka, kita dijemput untuk datang menyembah Dia.