Semasa berkhidmat sebagai pelatih untuk sebuah penerbit majalah Kristian, saya pernah menulis satu cerita tentang seorang peribadi yang telah menjadi Kristian. Setelah mengalami perubahan yang dramatik, dia meninggalkan kehidupan lamanya dan mengikuti Tuannya yang baru: Yesus. Beberapa hari selepas majalah tersebut diedarkan, seseorang yang namanya tidak diketahui telah menelefon saya dan mengeluarkan kata-kata ancaman, “Awas kau, Darmani. Kami sedang memerhatikan kau! Kau tidak akan selamat di negara ini jika kau menulis cerita seumpama itu.”
Bukan kali itu sahaja saya menerima ancaman kerana membawa orang lain untuk percaya kepada Yesus. Dalam satu kes yang lain, seorang lelaki telah menyuruh saya supaya berhambus bersama dengan risalah Injil yang saya sedang berikan kepadanya. Dalam kedua-dua kes tersebut, saya menjadi ketakutan. Namun ancaman-ancaman itu cuma dalam bentuk kata-kata. Ramai orang Kristian telah mengalami ancaman secara fizikal. Ada orang pula dianiayai hanya kerana mereka menjalani kehidupan yang salih.
Tuhan berkata kepada Yeremia, “Pergilah kepada orang yang Kusuruh engkau pergi, dan beritahulah mereka segala sesuatu yang Kuperintahkan kepadamu.” (Yeremia 1:7), dan Yesus berkata kepada pengikut-Nya, “Aku mengutus kamu seperti domba ke tengah-tengah serigala” (Matius 10:16). Benar, kita akan berhadapan dengan ancaman, kesusahan, bahkan kesakitan. Akan tetapi Tuhan meyakinkan bahawa Dia akan menyertai kita. Tuhan memberitahu Yeremia, “Aku akan menyertai engkau” (Yeremia 1:8), dan Yesus meyakinkan para pengikut-Nya, “Aku akan sentiasa menyertai kamu” (Matius 28:20).
Apa jua pergelutan yang kita hadapi dalam usaha untuk hidup bagi Tuhan, kita boleh mempercayai bahawa Tuhan menyertai kita.