Tidak berapa lama dahulu, saya pergi ke sebuah kedai tukang jahit dan membawa beberapa helai pakaian untuk diubahsuai. Sewaktu memasuki kedai tersebut, saya amat terdorong dengan tulisan yang tertera pada dinding. Tulisan pada salah satu papan tanda berbunyi, “Kami boleh mengubah pakaian anda tetapi hanya Tuhan yang mampu mengubah hati anda”. Di tepinya tergantung gambar Maria Magdalena yang sedang menangis, tatkala Kristus yang telah hidup semula menampakkan Diri-Nya kepada Maria. Papan tanda lain tertulis ungkapan, “Anda perlukan doa? Biarlah kami mendoakan anda.”
Pemilik kedai tersebut memberitahu kami bahawa sudah lima belas tahun dia membuka perniagaan kecilnya itu. “Kami berasa hairan dengan pekerjaan Tuhan di tempat ini melalui kenyataan iman yang telah kami lekatkan di berbagai-bagai tempat. Tidak lama sebelum ini, di tempat ini juga, seseorang telah percaya kepada Kristus sebagai Penyelamat. Saya sangat kagum melihat pekerjaan Tuhan.” Saya memberitahunya bahawa saya juga seorang Kristian serta memuji dia kerana menceritakan Kristus kepada orang lain di tempat kerjanya.
Tidak semua orang memiliki keberanian di tempat kerjanya, tetapi kita boleh mendapatkan banyak cara yang kreatif dan praktikal untuk menunjukkan kasih, kesabaran dan kebaikan yang tidak terduga di mana jua kita berada. Sejak saya meninggalkan kedai itu, saya asyik memikirkan berapa banyak cara yang kita boleh hidup seperti difirmankan oleh Tuhan: “Kamu bagaikan cahaya bagi dunia” (Matius 5:14).