Para sukarelawan dari sebuah gereja tempatan telah mengisi waktu petang mereka yang agak sejuk, dengan mengagihkan makanan kepada para penduduk di sebuah pangsapuri yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah. Seorang wanita yang telah menerima makanan berasa amat gembira. Kemudian dia menunjukkan tempat simpan makanannya yang kosong, lalu memberitahu para sukarelawan itu bahawa mereka adalah jawapan kepada doa-doanya.
Ketika para sukarelawan kembali ke gereja, salah seorang sukarelawati mula menangis. “Semasa zaman kanak-kanak saya,” katanya, “wanita tadi merupakan guru sekolah minggu saya. Dia selalu hadir ke gereja pada setiap hari Ahad. Saya langsung tidak tahu bahawa dia sentiasa hampir kelaparan!”
Sesungguhnya para sukarelawan ini merupakan orang yang penuh dengan kasih dan selalu ingin menolong untuk memikul beban orang lain, sebagaimana yang dinyatakan oleh Paulus dalam Galatia 6:2. Namun, mereka langsung tidak tahu tentang keperluan wanita tadi—seseorang yang mereka selalu lihat pada setiap hari Ahad—dia juga tidak pernah berkongsi tentang keperluannya. Hal ini boleh menjadi peringatan kepada kita semua agar menjadi lebih peka terhadap orang di sekeliling kita, seperti dikatakan oleh Paulus, “berbuat baik kepada semua orang, terutama sekali kepada saudara-saudara kita yang seiman” (6:10).
Jemaah yang berbakti bersama memiliki kelebihan dari segi sikap saling membantu supaya tiada seorang pun yang berada dalam keluarga Kristus akan terlepas daripada pertolongan yang diperlukan. Apabila kita mula mengenal dan mengasihi sesama kita, mungkin kita tidak lagi perlu berkata, “Kita langsung tidak tahu.”