Saya sedang beratur di kaunter pembayaran di sebuah pasar raya tempatan sambil memerhatikan sekeliling saya. Saya melihat beberapa remaja yang botak dan hidung bertindik sedang membelek-belek makanan ringan; seorang pekerja profesional muda sedang membeli sepotong daging stik, beberapa batang pucuk asparagus dan sebiji ubi manis; dan seorang wanita tua sedang berfikir untuk membeli sama ada buah pic ataupun buah strawberi. Adakah Tuhan mengenal setiap nama mereka? Saya bertanya kepada diri sendiri. Adakah mereka benar-benar penting bagi-Nya?
Pencipta kepada segala sesuatu adalah Pencipta kepada semua manusia, dan setiap kita adalah berguna serta berharga untuk menerima segala perhatian dan kasih-Nya. Tuhan telah menyatakan kasih itu di atas Bukit Golgota dan akhirnya di atas kayu salib.
Ketika Yesus lahir ke bumi dalam rupa seorang hamba, Dia telah membuktikan bahawa tangan Tuhan yang berkuasa memerhatikan semua orang di dunia, tidak kira betapa kecilnya orang itu. Pada tangan-Nya terpahat setiap nama kita dan pada tangan itu juga terpahat bekas luka-Nya, iaitu tanda kasih pengorbanan Tuhan kepada kita.
Sekarang, setiap kali saya berasa kasihan pada diri sendiri, diselubungi perasaan sunyi yang sangat kuat seperti yang dinyatakan dalam kitab Ayub dan Pengkhutbah, saya akan membaca Kitab Injil mengenai kisah Yesus dan perbuatan-Nya. Jika saya merumuskan bahawa kewujudan saya di bumi ini adalah untuk “bekerja dan membanting tulang seumur hidup” (Pengkhutbah 1:3), dan ia tidak menjadi isu di hadapan Tuhan, maka saya sudah menafikan salah satu sebab utama Tuhan datang ke bumi. Untuk menjawab persoalan Adakah saya berguna? Sememangnya Yesus adalah jawapannya.