Suatu petang pada hari Ahad, saya sedang duduk di halaman rumah yang berhampiran dengan gereja yang suami saya menggembalanya. Saya mendengar lagu pujian dan penyembahan yang berkumandang dalam bahasa asing. Gereja kami di London mengadakan kebaktian khas untuk jemaah yang bertenaga ini dan kami sangat terharu dengan semangat mereka terhadap Kristus. Mereka memberi kesaksian tentang penganiayaan yang dihadapi, termasuklah saudara ketua pastor mereka yang telah dibunuh kerana imannya. Orang percaya yang setia ini sedang mengikut jejak iaitu Stefanus, orang Kristian pertama yang juga dibunuh kerana imannya.
Stefanus, salah seorang pemimpin pertama yang dilantik dalam gereja awal, telah mendapat perhatian di Yerusalem apabila dia melakukan mukjizat dan keajaiban (Kisah Rasul-Rasul 6:8), dan telah dibawa untuk menghadap pihak berkuasa Yahudi demi membela tindakannya. Dia membela imannya sebelum bercakap tentang kedegilan serta kekerasan hati orang yang menuduhnya. Akan tetapi mereka bukannya bertaubat, malah mereka “meradang dan marah sekali terhadapnya” (7:54). Mereka mengheretnya ke luar bandar dan merejamnya sampai mati—walaupun Stefanus sedang berdoa untuk pengampunan mereka.
Cerita mengenai Stefanus dan orang Kristian moden yang telah dibunuh kerana iman mereka, mengingatkan kita bahawa berita baik tentang Kristus itu boleh menyebabkan kesengsaraan. Sekiranya kita belum pernah mengalami penganiayaan disebabkan oleh iman kita, maka marilah kita berdoa untuk setiap gereja yang sedang dianiaya di seluruh dunia. Sekiranya kita juga berhadapan dengan ujian seperti itu, semoga kita menerima rahmat untuk terus setia kepada Dia yang telah berkorban untuk kita.