Dalam satu kem pembaharuan rohani musim sejuk di utara New England, Amerika Syarikat, seorang lelaki bertanya: “Apakah hadiah Krismas yang paling kamu suka?
Seorang lelaki yang kuat dan tangkas menjawab dengan segera, “Itu mudah sahaja,” sambil memandang kawan di sebelahnya. Dia berkata, “Beberapa tahun yang lalu selepas tamat pengajian di universiti, saya yakin bahawa saya akan dapat menyertai pasukan profesional bola sepak Amerika. Tetapi apabila hal itu tidak berlaku, saya menjadi marah. Kepahitan telah memenuhi hidup saya, malah saya turut “melontarkan” kepahitan itu kepada sesiapa yang cuba untuk membantu saya.”
“Pada hari Krismas untuk tahun berikutnya—dan musim kedua yang saya tidak menyertai apa-apa pasukan bola sepak Amerika—saya pergi menonton satu lakonan mengenai kelahiran Yesus di gereja lelaki ini,” sambil jarinya menunjuk ke arah kawannya. “Saya pergi bukan sebab saya mahu menerima Yesus, saya hanya ingin melihat persembahan lakonan anak saudara perempuan saya dalam kostum lengkap. Ini adalah sukar untuk menjelaskan apa yang telah berlaku, tetapi ketika di tengah-tengah lakonan anak kecil itu, saya amat ingin menyertai para gembala dan malaikat untuk bertemu dengan Yesus. Setelah orang ramai selesai menyanyikan lagu ‘Malam Kudus’, saya terus menangis di tempat duduk saya.”
“Saya telah mendapat hadiah Krismas saya yang terbaik pada malam itu,” katanya serta jarinya sekali lagi menunjuk ke arah kawannya. “Malam itu kawan saya tidak pulang rumah dengan keluarganya, sebaliknya dia tinggal di situ untuk memberitahu saya bagaimana untuk mengenal Yesus.”
Kemudian secara tiba-tiba kawannya mencelah, “Dia pula menjadi hadiah Krismas saya yang terbaik.”
Pada musim Krismas ini, semoga kita berkongsi cerita yang sederhana dan penuh sukacita tentang kelahiran Yesus kepada orang lain.