Kadang-kadang saya bergurau dengan berkata bahawa saya akan menulis sebuah buku bertajuk Menepati Waktu. Orang yang mengenal saya akan tersenyum kerana mereka tahu bahawa saya sering datang lewat. Saya cuba mewajarkan alasan saya bahawa kelewatan saya adalah disebabkan oleh sikap optimis, bukannya saya sengaja datang lewat. Secara optimis, saya mempunyai anggapan yang salah bahawa “kali ini” saya boleh menyelesaikan lebih banyak [perkara] dengan tidak menggunakan lebih banyak masa seperti yang sebelumnya. Namun hakikatnya saya tidak mampu berbuat demikian.Akhirnya sekali lagi saya terpaksa meminta maaf kerana gagal muncul tepat pada masanya.
Ini amat berbeza dengan Tuhan, kerana Dia sentiasa menepati waktu. Kita mungkin akan berfikir bahawa Dia lewat, sebenarnya tidak. Melalui firman Tuhan, kita membaca tentang orang yang tidak sabar dengan masa Tuhan. Bangsa Israel menantikan janji tentang kedatangan Mesias (Penyelamat). Ada yang berputus asa. Namun Simeon dan Hana tidak berasa kecewa. Mereka berdoa dan menunggu di Rumah Tuhan setiap hari (Lukas 2:25-26, 37). Justeru itu, doa mereka dikabulkan sesuai dengan iman mereka. Mereka sempat melihat bayi Yesus ketika Maria dan Yusuf membawa Yesus ke Rumah Tuhan untuk melakukan apa yang diperintahkan Taurat (Ayat 27-32, 38).
Ketika kita berasa tawar hati kerana Tuhan tidak memberi respons mengikut masa kita, Krismas memperingatkan kita bahawa “Tetapi pada saat yang tepat, Allah mengutus Anak-Nya … supaya kita boleh menjadi anak-anak Allah” (Galatia 4:4-5). Masa Tuhan adalah waktu yang sentiasa sempurna, dan berbaloi untuk kita menunggu.
Nantikan Dia dengan sabar.