Tony Rinaudo merupakan penanam pokok bagi organisasi World Vision Australia (Visi Dunia Australia). Sebenarnya dia juga seorang misionari dan ahli agronomi yang terlibat dalam usaha menyebarkan Injil selama 30 tahun dengan memerangi pembasmian hutan di seluruh Sahel, Afrika, di selatan Gurun Sahara. Sesetengah orang memanggilnya “pembisik pokok”.
Apabila menyedari “pokok renek” yang bantut sebenarnya pokok-pokok yang tidak aktif, Rinaudo mulai memangkas, memelihara dan menyiramnya. Kerjanya telah memberi inspirasi kapada beratus-ratus ribu petani untuk menyelamatkan ladang mereka dengan memulihkan keadaan hutan yang berhampiran. Misalnya, petani di Niger telah menggandakan tanaman dan pendapatan mereka serta menyediakan makanan bagi seramai 2.5 juta orang yang lain setahun.
Dalam Yohanes 15, Yesus selaku pencipta pertanian merujuk kepada taktik perladangan yang sama ketika Dia berkata, “Aku pokok anggur yang sejati, dan Bapa-Ku peladang anggur. Setiap carang-Ku yang tidak berbuah dikerat oleh-Nya, dan setiap carang yang berbuah dipangkas oleh-Nya supaya bersih dan berbuah lebih lebat” (ayat 1–2).
Tanpa penjagaan Tuhan setiap hari, jiwa kita menjadi tandus. Tetapi apabila kita menyukai hukum-Nya serta merenungkannya siang dan malam, kita “seperti pokok yang ditanam di tepi sungai” (Mazmur 1:3). Daun kita “tidak pernah layu” dan kita akan “berjaya dalam segala usaha” (ayat 3). Jika kita ditanam dan dicantas dalam Dia, kita akan sentiasa menjadi malar hijau—dipulihkan dan berkembang.
ILHAM
Mazmur 1:1 menggunakan dua cara kesusasteraan: kesejajaran sintektik (synthetic parallelism) dan tricolon (tiga perkataan selari). Dalam kesejajaran sintektik, ayat kedua dicipta berdasarkan ayat pertama. Tricolon pula menggunakan 3 frasa atau perkataan yang selari secara berterusan tanpa gangguan.Dalam 3 pernyataan (tricolon) yang dibina berdasarkan satu sama lain (kesejajaran sintektik), pemazmur bermula dengan menggambarkan apa yang tidak dilakukan oleh orang yang diberkati: dia tidak “berjalan menurut nasihat orang zalim,” “berdiri di jalan orang berdosa,” atau “duduk di kerusi orang yang mengejek” (Alkitab Versi Borneo). Berjalan dengan seseorang adalah bergaul dengan mereka, tetapi tindakan itu tidak intim seperti berdiri atau duduk bersama dengan mereka. Orang yang mengejek disebut kemudian kerana mereka bukan sahaja melakukan kejahatan, malahan mengejek orang yang hidup benar.
Secara kontras, ayat 2 menggambarkan apa yang dilakukan oleh orang yang diberkati: mereka “bersukacita dengan hukum TUHAN, dan merenung hukum-Nya siang dan malam.” Frasa “siang dan malam” bermaksud keseluruhan. Hanya pengajaran Tuhan mengisi minda orang yang diberkati dan tiada hal lain.