Apabila saya mula menaruh minat dalam perkebunan, saya akan bangun awal dan bergegas ke kebun untuk melihat jika ada apa-apa tanaman yang sudah bertunas. Tetapi satu pun tiada. Selepas pencarian di Internet tentang “pertumbuhan tanaman yang cepat,” saya mendapati bahawa peringkat benih merupakan fasa terpenting dalam jangka hayat tanaman. Sekarang saya mengetahui bahawa proses ini tidak boleh dipercepat. Saya juga semakin menghargai kekuatan kecambah kecil yang berjuang untuk keluar dari tanah menuju ke arah matahari, dan daya tahan tanaman itu terhadap cuaca yang panas terik. Setelah menunggu dengan sabar selama beberapa minggu, akhirnya saya disapa oleh tunas hijau yang banyak menjalar di atas tanah.
Kadang-kadang kita mudah memuji kemenangan dan kejayaan dalam hidup kita, tanpa menyedari bahawa pertumbuhan dalam perwatakan kita sering berlaku melalui masa dan kesusahan yang kita hadapi. Yakobus mengarahkan kita “anggaplah diri kamu berbahagia” ketika kita “mengalami bermacam-macam cubaan” (Yakobus 1:2). Tetapi apakah yang mungkin menggembirakan dalam cubaan?
Kadang-kala Tuhan mengizinkan kita menempuh cabaran dan kesusahan supaya kita dapat dibentuk menjadi orang yang dipanggil-Nya . Dia menanti kita keluar daripada cubaan hidup untuk “menjadi benar-benar sempurna dan tidak kekurangan sesuatu pun” (ayat 4). Dengan tetap teguh dalam Yesus, kita dapat menjadi tabah dalam segala cabaran, bertumbuh lebih kuat dan akhirnya mengizinkan buah Roh Kudus bertumbuh dalam hidup kita (Galatia 5:22-23). Hikmat-Nya memberi kita khasiat yang kita perlukan untuk benar-benar berkembang setiap hari (Yohanes 15:5).