Bos saya memberitahu saya, “Tugas anda dalam ekspo buku antarabangsa adalah menganjurkan siaran radio di tapak ekspo.” Saya ketakutan kerana ini tugas baharu bagi saya. Ya Tuhan, aku tidak pernah melakukan perkara seperti ini, saya berdoa. Tolonglah aku.
Tuhan menyediakan sumber dan orang untuk membimbing saya: seorang juruteknik dan penyiar yang berpengalaman, serta beberapa peringatan semasa ekspo tentang butiran-butiran yang saya terlepas pandang. Jika ditinjau kembali, saya tahu bahawa siaran itu berjalan lancar kerana Tuhan mengetahui apa yang saya perlukan, dan menggerakkan saya menggunakan kemahiran yang telah diberikan-Nya.
Apabila Tuhan memanggil kita melakukan sesuatu tugas, Dia juga memperlengkap kita untuknya. Apabila Dia menugaskan Bezaleel untuk membina Khemah Suci, Bezaleel sudah seorang tukang yang mahir. Tuhan selanjutnya memperlengkap dia dengan “Roh Allah, dengan kebijaksanaan, pengertian, pengetahuan dan segala jenis kemahiran bertukang (Keluaran 31:3). Tuhan juga membantu dia melalui Aholiab, serta tukang-tukang kerja lain yang mahir (ayat 6). Dengan diperkasakan Tuhan, pasukan itu membuat reka bentuk dan mendirikan khemah, kelengkapannya, dan pakaian para imam. Semua ini memainkan peranan penting dalam penyembahan Tuhan yang sewajarnya oleh orang Israel (ayat 7-11).
Bezaleel bermaksud “dalam naungan [perlindungan] Tuhan”. Tukang ini bekerja dalam projek terpenting seumur hidup di bawah perlindungan, kuasa dan pertolongan Tuhan. Marilah kita dengan berani mematuhi arahan-Nya semasa kita menyempurnakan sesuatu tugas. Dia mengetahui apa yang kita perlukan, Dia juga tahu bagaimana dan bila untuk memberikannya kepada kita.