Bill Tobias, rakan saya waktu di universiti telah melayani sebagai seorang mubaligh di sebuah pulau Pasifik selama bertahun-tahun. Dia mengisahkan seorang pemuda yang meninggalkan kampung halamannya untuk mencari rezeki. Akan tetapi, seorang kawan membawa dia ke gereja dan dia terdengar berita baik yang ditawarkan Yesus, lalu dia mempercayai Kristus sebagai Penyelamatnya.
Pemuda itu hendak menyampaikan Injil kepada suku bangsanya yang kuat mengamalkan ilmu sihir. Jadi dia mencari seorang mubaligh untuk pergi kepada mereka. Bagaimanapun, mubaligh itu meminta pemuda itu semata-mata “pulanglah … Beritahu mereka betapa besarnya pertolongan Tuhan bagimu” (lihat Markus 5:19). Itulah yang dilakukannya. Beberapa orang di kampung halamannya menerima Yesus, tetapi kejayaan terbesar dicapai apabila bomoh di pekan itu menyedari bahawa Kristus ialah “jalan, kebenaran dan hidup” (Yohanes 14:6). Setelah si bomoh itu percaya kepada Yesus, dia memberitahu seluruh penduduk pekan tentang Yesus. Dalam tempoh empat tahun, kesaksian seorang pemuda telah membawa pertubuhan tujuh buah gereja di rantau itu.
Dalam 2 Korintus, Paulus mengemukakan satu rancangan yang jelas untuk memperkenalkan Injil kepada mereka yang belum mengenal Kristus—dan ia selaras dengan apa yang diberitahukan oleh mubaligh itu kepada pemuda yang baru percaya kepada Yesus. Kita harus menjadi “para duta Kristus”. Melalui kita sebagai wakil-Nya, “Allah menyampaikan apa yang dikehendaki-Nya” (5:20). Setiap orang percaya mempunyai kisah unik untuk menceritakan bagaimana Yesus menjadikan mereka “ciptaan baru … yang telah mendamaikan” mereka dengan Tuhan (ayat 17-18). Marilah kita memberitahu orang lain apa yang telah dilakukan Tuhan untuk kita.