Sebagai anak kepada ibu bapa yang penyayang dan bekerja keras dari Amerika Tengah dan Selatan, saya bersyukur kerana mereka mempunyai keberanian untuk menjadi orang yang pertama dalam keluarga mereka untuk berhijrah ke Amerika Syarikat bagi mencari peluang yang lebih baik. Mereka bertemu sebagai orang dewasa muda di bandar New York, berkahwin, melahirkan kakak saya dan saya, dan terus menjalankan perniagaan masing-masing.
Sebagai penduduk asli di New York, saya telah membesar dengan menerima warisan Hispanik saya dan terpesona dengan masyarakat berbilang bangsa. Sebagai contoh, saya pernah berkongsi kisah iman saya dalam sebuah ibadah malam di sebuah gereja. Jemaah di situ berasal daripada pelbagai budaya dan mengadakan pertemuan di bekas teater Broadway. Waktu saya berkongsi kepada sekumpulan orang yang berbilang budaya tentang kasih Tuhan hanyalah gambaran sekilas tentang keadaan syurga apabila kita melihat orang dari pelbagai bangsa berkumpul sebagai tubuh Kristus.
Dalam kitab Wahyu, rasul Yohanes memberi kita gambaran ini yang menakjubkan tentang syurga: “Kulihat lautan manusia, tidak terkira banyaknya, daripada segala bangsa, suku, kaum, dan bahasa, berjubah putih dan memegang daun palma” (Wahyu 7:9). Juruselamat kita akan menerima “pujian, kemuliaan” dan lebih-lebih lagi Dia layak dipuji “selama-lamanya” (ayat 12).
Sekarang kita hanya melihat syurga dengan sekilas pandangan. Tetapi suatu hari nanti, kita yang percaya kepada Yesus akan bersatu dengan Dia dan dengan orang dari pelbagai negara, budaya dan bahasa. Oleh sebab Tuhan mengasihi semua bangsa, marilah kita juga mengasihi keluarga global kita dalam Kristus.