Mila, seorang pembantu pembuat roti, berasa terlalu tidak berdaya untuk mempertahankan dirinya apabila penyelia menuduh dia mencuri roti kismis. Tuduhan yang tidak berasas dan potongan gaji hanyalah dua daripada banyak tindakan salah daripada penyelianya. “Ya Tuhan, tolonglah aku,” Mila berdoa setiap hari. “Sukar sekali untuk bekerja di bawahnya, tetapi saya memerlukan pekerjaan ini.”
Yesus menceritakan tentang seorang balu yang juga berasa tidak berdaya dan “menuntut keadilan terhadap lawannya” (Lukas 18:3). Dia pergi mencari seseorang yang berkuasa untuk menyelesaikan kesnya—seorang hakim. Walaupun dia tahu bahawa hakim itu tidak adil, dia masih pergi.
Respons akhir hakim itu (ayat 4-5) sesungguhnya jauh beza daripada Bapa Syurgawi kita, yang cepat bertindak balas dengan kasih sayang dan pertolongan. Sekiranya kegigihan boleh membuatkan hakim yang tidak adil itu membela kes seorang balu, sudah tentu Tuhan, yakni Hakim yang adil tidak akan bertangguh untuk membela kita (ayat 7-8). Kita boleh percaya bahawa Dia “akan membela umat pilihan-Nya” (ayat 7) dan doa yang berterusan adalah satu cara untuk menunjukkan kepercayaan kita. Kita tekun berdoa kerana kita percaya bahawa Tuhan akan bertindak balas dengan kebijaksanaan yang sempurna terhadap keadaan kita.
Akhirnya, penyelia Mila meletak jawatan selepas pekerja-pekerja lain mengadu tentang kelakuannya. Semasa kita berjalan dalam ketaatan kepada Tuhan, marilah kita terus berdoa, kerana mengetahui kuasa doa kita terletak pada Dia yang mendengar dan menolong kita.