Seorang pelari dalam Maraton London memahami pentingnya ada orang menemani anda dalam perlumbaan besar. Selepas berbulan-bulan membuat persiapan yang melelahkan, lelaki itu mahu menamatkan lariannya dengan rekod yang cemerlang. Tetapi ketika dia menghampiri garisan penamat, dia merasakan dirinya hampir rebah akibat keletihan. Sebelum dia jatuh ke tanah, dua orang peserta maraton memegang lengannya—satu di kiri dan satu lagi di kanannya—dan membantu pelari yang bergelut itu menamatkan larian.
Seperti pelari itu, penulis Pengkhutbah mengingatkan kita tentang beberapa kelebihan penting yang datang daripada orang lain yang berlumba dengan kita dalam perlumbaan hidup. Salomo menetapkan prinsip bahawa “Berdua lebih baik daripada bersendiri” (Pengkhutbah 4:9). Dia memberi tumpuan kepada kelebihan usaha bersama dan kerja keras bersama. Dia juga menulis bahawa perkongsian boleh membawa “upah yang baik atas penat lelah mereka” (ayat 9). Semasa melalui kesukaran, seorang teman yang berada di sana boleh “mengangkat temannya” (ayat 10). Ketika malam gelap dan dingin, rakan-rakan boleh berkumpul bersama untuk menghangatkan badan (ayat 11). Selain itu, semasa dalam bahaya, dua “orang dapat bertahan” terhadap penyerang (ayat 12). Rakan-rakan yang hidup mereka dijalin bersama boleh memiliki kekuatan yang besar.
Setiap kita memiliki kelemahan, maka kita memerlukan sokongan dan jaminan perlindungan yang kuat daripada saudara dan saudari seiman kita. Mari kita terus maju bersama-sama di bawah pimpinan Tuhan kita!