Menurut Kisah Para Rasul, Paulus telah pergi ke Bait Suci untuk upacara penyucian Yahudi (Kisah Para Rasul 21:26). Tetapi beberapa orang penghasut berpendapat bahawa dia telah menyampaikan ajaran yang bertentangan dengan hukum Taurat, maka mereka berusaha untuk membunuhnya (ayat 31). Askar Roma segera bertindak dan menangkap Paulus, mengikatnya, dan mengheret dia keluar dari kawasan Bait Suci. Masa itulah segerombolan orang berteriak, “Hapuskan dia!” (ayat 36).

Apakah reaksi rasul terhadap ancaman ini? Dia bertanya kepada ketua pasukan tentera jika dia boleh “bercakap kepada orang ramai” (ayat 39). Apabila pemimpin Roma itu memberi kebenaran, Paulus, yang berlumuran darah dan lebam, berpaling kepada orang ramai yang marah dan berkongsi imannya dalam Yesus (22:1-16).

Kisah ini berlaku pada dua ribu tahun yang lalu, mungkin kita akan berasa sukar untuk ada kaitan dengan hidup kita. Baru-baru ini, seorang lelaki bernama Petrus telah ditangkap ketika melawat rakannya yang percaya kepada Yesus dan sedang dipenjarakan. Di negara itu orang yang percaya kepada Yesus selalu dianiaya. Petrus telah dicampakkan ke dalam sel penjara yang gelap dan ditutup matanya semasa soal siasat. Apabila penutup mata ditanggalkan, dia ternampak empat orang askar mengacukan pistol ke arahnya. Apakah respons Petrus? Dia melihatnya sebagai “peluang sempurna … untuk berkongsi imannya.”

Paul dan Petrus zaman moden ini menunjukkan kebenaran yang sukar diterima dan amat mustahak. Walaupun Tuhan mengizinkan kita mengalami masa-masa sukar—malah penganiayaan—tugas kita tetap: “Sebarkan Injil” (Markus 16:15). Dia akan bersama kita dan memberi kita kebijaksanaan dan kuasa untuk berkongsi iman kita.