“Para penumpang, sila bersedia untuk menaiki penerbangan yang menuju ke Montego Bay,” kata pengumuman itu. Masa itu saya mengembara sebagai penceramah dan ketua kumpulan sekolah menengah dalam perjalanan misi ke Jamaica. Saya mencapai beg galas saya untuk mendapatkan pas masuk dan pasport saya—dan panik melanda. Pasport saya hilang!
Kemudian kumpulan kami menaiki kapal terbang tanpa saya, dan selama empat hari saya berusaha gigih untuk cuba mendapatkan pasport baharu. Selepas membuat beratus-ratus panggilan telefon, beberapa perjalanan yang sia-sia ke Washington DC, lalu memandu jarak yang panjang untuk kembali ke Grand Rapids, Michigan, tinggal di bandar berdekatan selama dua hari, akhirnya dengan bantuan dari pejabat ahli kongres tempatan kami—saya akhirnya mendapat pasport baharu dan boleh menyertai kumpulan saya di Jamaica.
Sebuah pasport. Sebuah buku kecil—tetapi inilah satu-satunya jaminan saya ke tempat yang saya ingin pergi. Sekuat manapun saya berusaha untuk mendapatkan dokumen baharu itu, nilainya tidak sebanding dengan sesuatu yang akan menentukan destinasi kekal kita: percaya kepada Yesus. Ini merupakan satu-satunya jaminan kita untuk menerima keselamatan dan kehidupan baru dalam Dia.
Menurut Alkitab, “Sekaranglah hari penyelamatan itu” (2 Korintus 6:2). Paulus menggambarkan realiti bahawa fajar keselamatan telah tiba disebabkan Kristus. Dengan percaya kepada-Nya, kita boleh mengalami kasih dan penebusan Tuhan, pemulihan-Nya dalam semua ciptaan. Hari ini, mari kita pastikan bahawa kita benar-benar tahu apa itu maksudnya “berbaik semula dengan Allah” (5:21, TMV).