Amat menyakitkan apabila melihat ayah saya hilang ingatan. Demensia amat kejam, menghilangkan semua ingatan seseorang sehingga mereka tidak dapat mengingat lagi tentang kehidupan yang pernah dijalani. Pada suatu malam, saya bermimpi dan saya percaya Tuhan menggunakan mimpi tersebut untuk mendorong saya. Dalam mimpi itu, ada sebuah peti harta karun kecil di tangan-Nya. Dia berkata, “Semua kenangan ayahmu disimpan dengan selamat di sini. Sementara itu, Aku akan menyimpan semua ingatan tersebut. Kemudian suatu hari nanti, Aku akan mengembalikan kepadanya di syurga.”

Pada tahun-tahun berikutnya, mimpi itu menghiburkan saya apabila ayah saya tidak dapat mengenali saya lagi. Ia mengingatkan saya bahawa penyakitnya adalah sementara. Suatu hari nanti ayah akan dipulihkan secara kekal kerana dia ialah anak Tuhan.

Pernyataan Paulus yang menggambarkan penderitaan sebagai “ringan dan hanya sedetik” (2 Korintus 4:17), juga amat menghibur. Paulus tidak meremehkan penderitaan; dia sendiri telah banyak menderita (ayat 7-12). Dia menekankan kebenaran ini dalam konteks kekekalan dan kemuliaan masa depan yang akan menjadi milik kita dalam Kristus, maka masalah kita adalah ringan dan sementara. Semua berkat mulia yang sudah kita miliki dalam Yesus sekarang—dan yang akan kita alami suatu hari nanti—akan melebihi semuanya (ayat 17).

Oleh sebab kita percaya kepada Tuhan dan janji-Nya, kita boleh memilih untuk tidak berputus asa. Walaupun kita menderita, kita boleh hidup setiap hari dalam iman, bergantung pada kuasa-Nya untuk mengalami pembaharuan-Nya (ayat 16). Marilah kita memusatkan pandangan pada janji-janji-Nya yang kekal hari ini (ayat 18).