Nancy hanya melihat masalah dan takut akan masa depannya. Suaminya Tom telah pengsan tiga kali semasa dalam perjalanan mendaki di luar bandar Maine. Tetapi doktor-doktor di hospital kecil berhampiran tidak mendapati apa-apa masalah. Jadi mereka pergi ke sebuah pusat perubatan yang lebih besar. Namun selepas doktor menjalankan beberapa pemeriksaan tambahan, mereka juga mendapati tiada masalah tentang Tom. “Saya sangat takut,” kata Nancy. Semasa suaminya dibenarkan pulang, dia menyoal pakar kardiologi buat kali terakhir dan bertanya, “Apa yang harus kita lakukan sekarang?” Dia memberinya kata-kata hikmat yang selamanya mengubah pandangannya. “Pergilah jalani hidup anda,” katanya. “Doktor itu tidak memberi kita nasihat dengan cara yang sambil lewa,” ingat Nancy. “Begitulah nasihat dia kepada kami.

Petunjuk sedemikian adalah seperti arahan Yesus dalam Khutbah-Nya di Bukit. Dia berkata, “Janganlah khuatir tentang hidupmu, tentang apa yang kamu makan atau minum, atau tentang tubuhmu, dan tentang apa yang akan kamu pakai. Bukankah hidup lebih penting daripada makanan, dan tubuh lebih penting daripada pakaian?” (Matius 6:25). Panduan sedemikian tidak bermaksud menolak rawatan perubatan atau mengabaikan masalah kesihatan atau gejala yang lain. Sebaliknya, Kristus hanya berkata, “Janganlah khuatir” (ayat 25). Dia kemudian bertanya, “Siapakah dalam kalanganmu yang dapat melanjutkan usianya sedikit pun dengan menaruh khuatir?” (ayat 27).

Nabi Yesaya memberikan hikmat yang serupa. “Kepada mereka yang resah hatinya, katakanlah ‘Kuatkanlah hati, jangan takut! Ketahuilah, Allahmu akan datang dengan pembalasan, dengan ganjaran! Dia akan datang menyelamatkan kamu!’ ” (Yesaya 35:4). Bagi Nancy dan Tom, mereka kini mendapat inspirasi untuk berjalan lebih daripada 8 kilometer sehari. Mereka tidak lagi berjalan dalam kebimbangan, tetapi melangkah keluar dengan gembira.