Pada awal 1900-an, undang-undang mengehadkan orang kulit hitam dan pendatang di Amerika Syarikat untuk menyewa atau membeli hartanah di Coronado, California. Seorang lelaki kulit hitam bernama Gus Thompson (yang dilahirkan dalam perhambaan) telah membeli tanah lebih awal dan membina rumah tumpangan di Coronado sebelum undang-undang yang mendiskriminasi ini diluluskan. Pada tahun 1939, Gus menyewakannya kepada sebuah keluarga Asia, dan akhirnya menjual tanah itu kepada mereka. Hampir lapan puluh lima tahun kemudian, selepas menjual hartanah itu, beberapa ahli keluarga orang Asia itu mendermakan hasil jualan mereka untuk membantu para pelajar universiti berkulit hitam. Mereka juga sedang berusaha untuk menamakan sebuah pusat di Universiti Negeri San Diego sempena nama Gus dan isterinya, Emma.

Imamat juga bercakap tentang apa yang dimaksudkan dengan memperlakukan orang lain dengan baik. Tuhan memerintahkan umat-Nya, “Hendaklah kamu menyokongnya sebagaimana kamu akan membantu seorang pendatang dan pemastautin sementara supaya dapat diteruskannya kehidupan dalam kalanganmu” (25:35). Dia berpesan kepada umat-Nya supaya melayani antara satu sama lain dengan baik dan saksama terutamanya kepada orang yang memerlukan bantuan. Oleh sebab takut kepada Tuhan (ayat 36), mereka harus membantu orang yang mengalami masa-masa sukar dan tidak dapat menjaga diri sendiri. Mereka harus memperlakukan orang asing seperti mereka memperlakukan “pendatang dan pemastautin sementara” (ayat 35)—dengan layanan baik dan kasih.

Gus Thompson dan isterinya telah membantu sebuah keluarga yang berbeza dengan mereka. Sebagai balasan, keluarga itu memberkati ramai orang lain. Marilah kita memanjangkan belas kasihan Tuhan kepada orang yang memerlukan bantuan sementara Dia membantu kita menunjukkan kasih-Nya terhadap mereka.