Meggie yang ketagihan dadah selama sepuluh tahun menyebabkan dia keluar masuk penjara. Tanpa perubahan hidup, dia akan kembali ke sana. Kemudian dia bertemu dengan Hans, bekas penagih yang hampir kehilangan tangannya apabila uratnya pecah akibat penyalahgunaan dadah. “Itulah kali pertama aku berseru kepada Tuhan,” kata Hans. Tuhan menjawab doanya, dan menyiapkan dia menjadi salah seorang anggota bagi sebuah organisasi yang khas dalam menyelaraskan pemulihan bagi penagih dadah yang dipenjarakan.
Program yang disebut Stone Soup (Sup Batu) ini membantu bekas banduan dari sebuah penjara di Amerika Syarikat yang memerlukan sokongan untuk kembali kepada komuniti mereka. Melalui pelan itu, Meggie berpindah ke sebuah pusat serenti dan sudah dipulihkan daripada ketagihan dadah. Kini Hans membantu Meggie dan penghuni-penghuni lain mendapatkan peluang pekerjaan, pilihan pendidikan, rawatan dan sumber keluarga—satu usaha yang diselaraskan.
Alkitab menerangkan kekuatan dalam perkongsian yang bijak. “Berdua lebih baik daripada bersendiri kerana mereka menerima upah yang baik atas penat lelah mereka. Seandainya ada antara mereka yang jatuh, yang seorang lagi akan mengangkat temannya” (Pengkhutbah 4:9-10). Bagaimanapun, “malangnya orang yang jatuh dan tiada sesiapa untuk mengangkatnya” (ayat 10).
Dalam cerita rakyat Sup Batu, seorang pengembara yang kelaparan menjemput penduduk pekan masing-masing berkongsi satu ramuan untuk membuat sup yang lazat bagi semua orang. Demikian juga Alkitab mengesahkan bahawa kita lebih kuat dan lebih baik bersama-sama (ayat 12). Rancangan Tuhan adalah untuk kita hidup dalam komuniti, membantu orang lain dan turut menerima bantuan. Itu bukanlah cerita dongeng; inilah kebenaran seumur hidup.