Michael Sparks masuk ke dalam sebuah kedai barangan terpakai dan membeli sekeping salinan cenderamata Perisytiharan Kemerdekaan Amerika Syarikat dengan harga $2.48 dolar. Kemudian, semasa dia memperhatikan salinan kertasnya dengan teliti, dia merasakan ada sesuatu yang luar biasa mengenainya. Oleh itu, dia membawanya ke beberapa orang pakar untuk menilainya semula. Mereka memberitahu Michael bahawa salinan itu adalah salah satu daripada tiga puluh enam salinan asli yang masih tertinggal da ripada dua ratus salinan yang dipesan oleh John Quincy Adams pada tahun 1820. Kemudian Sparks menjual salinan asal yang sukar didapati tersebut pada harga $477,650!

Sungguh menakjubkan Michael boleh memperoleh khazanah ini dengan harga yang begitu rendah, namun terdapat khazanah yang jauh lebih baik. Sejak kecil, saya telah mengetahui ada satu harta yang tidak ternilai, tiada bandingannya, dan kekal selama-lamanya, yang tidak memerlukan saya membayar walau satu sen pun. Tetapi saya tidak menemuinya di kedai barangan terpakai.

Kemudian ibu bapa saya memberitahu saya bahawa seorang lelaki bernama Yesus telah membeli “hadiah” ini dengan menyerahkan nyawa-Nya ketika disalibkan sebagai korban untuk menebus saya yang berdosa ini. Saya juga diberitahu mereka bahawa hadiah ini disebut keselamatan. Keselamatan itu menjanjikan harta iaitu “kehidupan …yang berlimpah-limpah” di bumi (Yohanes 10:10) dan “kehidupan kekal … dalam Anak [Tuhan]” dengan Yesus (1 Yohanes 5:11). Saya menerima hadiah itu dengan iman.

Betapa luar biasa jika sesiapa boleh mendapatkan harta dunia dengan harga yang begitu rendah, tetapi itu tidak dapat dibandingkan dengan harta kekal yang ditawarkan Kristus secara percuma. Setiap orang boleh menerima harta ini, apabila kita “percaya kepada nama Anak Allah”, iaitu Yesus (ayat 13).