Nenek saya mempunyai rutin pada malam Sabtu. Sebelum dia tidur, dia akan menyusun semua pakaiannya, termasuk kasut yang dia akan pakai ke gereja keesokan harinya. Dia sentiasa menghadiri kebaktian awal pagi dan ingin bersiap sedia untuk bangun dan pergi keesokan harinya tanpa berlengah-lengah. Pada suatu malam Sabtu, dia tiba-tiba dimasukkan ke hospital. Kemudian, Yesus memanggil namanya, dan dia meninggal dunia. Apabila datuk pulang dari hospital, dia mendapati pakaiannya tersusun rapi. Nenek telah bersedia untuk pergi ke gereja serta bertemu Tuhannya.
Kebiasaan nenek saya mengingatkan saya tentang perumpamaan tentang sepuluh orang pengapit pengantin perempuan yang bijak dalam Matius 25. Dalam kisah itu, Kristus memberitahu murid-murid-Nya agar bersedia untuk kedatangan-Nya: “Oleh itu, berjaga-jagalah, kerana kamu tidak tahu hari dan waktunya” (ayat 13). Kristus akan kembali, jadi adalah bijak untuk kita bersedia. Jika kita menunggu sehingga minit terakhir untuk bersiap, kita boleh menjadi seperti pengapit pengantin perempuan lain “yang kurang berakal” (ayat 3). Mereka kehabisan minyak kerana mereka tidak membuat persediaan yang baik, dan sebaik sahaja mereka meninggalkan tempat mereka untuk pergi mengisi semula pelita mereka dengan minyak, pengantin lelaki pun datang.
Kita mungkin tidak perlu menyusun pakaian kita seperti nenek saya, tetapi amalannya menunjukkan keinginannya untuk bersedia ke gereja dan untuk Penyelamatnya. Semoga kita mencontohi kebijaksanaannya untuk membuat persediaan bagi perkara yang paling penting dalam hidup, melayani Yesus semasa Dia memimpin kita dan bersedia untuk kedatangan-Nya.