Apabila aplikasi pandu arah (navigasi) mencadangkan satu laluan yang dapat menjimatkan hampir sejam perjalanan mereka dari Las Vegas ke Los Angeles, Shelby Easler dan saudaranya pun mengikut arahan laluan alternatif itu. Bagaimanapun, “jalan pintas” tersebut membawa mereka menyusuri jalan tanah selama berjam-jam dan menyebabkan mereka terkandas di Gurun Mojave, California semasa ribut pasir. Mereka dapat berpatah balik, tetapi terpaksa mendapatkan bantuan kereta tunda kerana keadaan jalan yang teruk itu menyebabkan kereta mereka rosak. Selepas menerima laporan, pemaju aplikasi itu memohon maaf kepada para pengguna yang telah mengikut arah jalan yang salah tersebut.
Adalah penting bagi kita untuk mengetahui siapa yang kita harapkan untuk mendapatkan petunjuk. Sebagai orang yang percaya kepada Yesus, kita telah dikurniakan Roh Kudus untuk memimpin dan membimbing kita dalam hal-hal kebenaran.
Ketika Yesus tahu bahawa Dia akan mati dan berpisah daripada para murid-Nya tidak lama kemudian, Dia meyakinkan mereka bahawa Dia tidak akan meninggalkan mereka sehingga tiada harapan. Dia menggesa para murid-Nya mentaati perintah-Nya dan memberitahu mereka tentang Roh Kudus yang dijanjikan, atau Roh Kebenaran, yang akan menyertai mereka selama-lamanya dan tetap di dalam mereka (Yohanes 14:15-17). “Penolong, iaitu Roh Kudus yang akan diutus Allah dalam nama-Ku, akan mengajarmu segala-galanya dan mengingatkanmu tentang apa yang telah Kukatakan kepadamu” (ayat 26).
Marilah kita terus mengikut pimpinan Roh Kudus sepanjang hari kita. Kita tahu bahawa Dia tidak akan menyesatkan kita.