“Aku mencintaimu. Aku tak akan meninggalkanmu.” Julia menyimpan mesej teks suaminya supaya dia dapat membacanya setiap kali dia berasa takut. Zaman kanak-kanak yang bermasalah telah membuatkan Julia mengalami rasa takut bahawa orang yang disayanginya akan meninggalkannya. Dia sering meminta jaminan daripada suaminya, dan dia akan menunggu dengan cemas untuk suaminya pulang dari tempat kerja.

Doa dan kaunseling membantu Julia menghadapi ketakutannya dengan cara yang lebih sihat. “Saya mula menghadapi ketakutan saya berdasarkan janji-janji kasih sayang suami saya,” katanya. “Saya akan fikir, janjinya adalah benar! dan bertindak selaras dengan itu.”

Raja Yerobeam juga mempunyai ketakutan yang tidak berasas. Oleh sebab Salomo meninggalkan Tuhan pada masa tuanya, Dia berjanji kepada Yerobeam, “Aku akan mengambil kerajaan itu daripada tangan anaknya [Daud] dan akan mengurniakan sepuluh suku kepadamu” (1 Raja-Raja 11:35). Tuhan meyakinkan Yerobeam bahawa jika dia taat kepada-Nya, Dia “akan mengurniakan orang Israel” kepadanya (ayat 38).

Namun, Yerobeam berasa takut. “Jika rakyat pergi mempersembahkan korban sembelihan di Bait TUHAN di Yerusalem,” fikirnya, “tentu hati rakyat akan berbalik kepada tuan mereka, iaitu Rehabeam” (1 Raja-Raja 12:27). Ketakutan itu telah mendorongnya untuk mendirikan tempat-tempat penyembahan berhala yang berdekatan untuk menghalang rakyatnya kembali kepada anak Salomo (ayat 26-33). Akibatnya, Yerobeam menghadapi penghakiman Tuhan (14:7-16). Alangkah baik sekiranya dia mempercayai janji Tuhan!

Kita tidak perlu menghadapi ketakutan yang tidak berasas sendirian. Tuhan telah memberi kita jaminan melalui janji-janji-Nya dalam Alkitab. Marilah kita membiarkan kebenaran-Nya yang penuh kasih menerangi fikiran dan setiap langkah kita.