Semasa Carlotta masih kecil, dia menyangka ibunya memiliki kurnia yang luar biasa dalam mengenali wajah orang lain. Namun, sebenarnya Carlotta yang istimewa. Dia hidup dengan satu kondisi yang jarang berlaku, yang dipanggil prosopagnosia dan menyebabkan dia tidak dapat mengecam atau mengingati wajah orang.

Tidak lama selepas kebangkitan Yesus, dua orang murid yang sedang berjalan dari Yerusalem kelihatan seperti mengalami keadaan ini apabila mereka bertemu seseorang yang sepatutnya dikenali mereka. Dua orang ini sedang berbual tentang berita besar yang berlaku beberapa hari lalu (Lukas 24:14), tetapi orang ketiga itu seolah-olah tidak tahu apa yang sedang berlaku. Mereka pun memberikan ringkasan cerita dan tiba-tiba orang yang tidak dikenali oleh mereka (Yesus) “menerangkan kepada mereka apa yang tersurat tentang-Nya dalam seluruh Kitab Suci” (ayat 27). Kemudian Kristus memecahkan roti bersama mereka (ayat 30)—sesuatu yang pernah dilakukan-Nya berkali-kali sebelum ini. Pada saat itu, “Mata mereka dicelikkan dan mereka pun mengenali-Nya. Lalu Dia lenyap daripada pandangan mereka” (ayat 31). Mereka terus bergegas balik ke Yerusalem untuk memberitahukan orang lain (ayat 33-35).

Murid-murid itu tidak mengenali Yesus walaupun sedang bersama-Nya, dan mereka juga tidak mengenali-Nya dalam Perjanjian Lama—kitab yang sering mereka dibaca merekadan menganggap mereka sudah faham. Mereka memerlukan Yesus untuk membuka mata mereka, kerana mereka tidak dapat melihat dengan usaha sendiri.

Kita pun memerlukan pertolongan yang sama. Mari kita memohon Tuhan membuka mata kita supaya kita dapat melihat Yesus dalam halaman-halaman Alkitab dan kehidupan kita.